Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pula menjadi sasaran penyokong apabila tidak berpuas hati dengan persembahan Kelantan yang kalah kali kelima.

Malah, ada juga penyokong yang berani meminta Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan selepas dikatakan gagal membawa pasukan ke prestasi sebenar.

Semua cemuhan itu diluahkan penyokong menerusi laman sosial Facebook sebaik sahaja Kelantan kalah 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) malam kelmarin.

Annuar melalui laman sosialnya tidak menafikan beliau reda dengan segala kritikan penyokong termasuk memintanya meletakkan jawatan.

Katanya, beliau memahami perangai serta budaya masyarakat Kelantan yang cepat melenting dan ‘panas’ jika harapan mereka gagal dipenuhi.

“Yang bercakap ramai, yang bekerja kurang. Yang kutuk ramai, yang menyumbang kurang dan yang meruntuh ramai dan yang membina kurang.

“Di sebalik itu, ramai penyokong tidak sedar senario Liga M sudah berubah jika dibandingkan tahun sebelum ini kerana empat import dibenarkan beraksi musim ini, sekali gus memberi peluang kepada pasukan kaya mencari import berkualiti,” katanya.

Annuar berkata, berbanding pasukan lain yang mendapat tajaan kerajaan negeri termasuk kelab berdana besar, pihak KAFA pula terpaksa mengumpul hutang yang banyak kerana peningkatan kos.

Katanya, jika tiada pihak membantu KAFA, keadaan mungkin bertambah parah dan besar kemungkinan boleh membawa kepada ‘tutup kedai’.

“Bayangkan, kita perlu berbelanja RM1 juta sebulan dan disebabkan bergerak secara sukarela, kita perlu berusaha gigih mencari sumber kewangan itu,” katanya.

Annuar menambah, selepas merombak barisan kejurulatihan dan import, tumpuan KAFA kini kepada pembangunan mental dan fizikal pemain tempatan.

Katanya, pihak KAFA akan berusaha keras agar Kelantan layak ke separuh akhir Piala FA dan juga Piala Malaysia termasuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

“Semua usaha itu agak berat dan sekiranya gagal, kita akan serahkan kepada mereka yang layak untuk menerajui KAFA.

“Demi maruah Kelantan, saya alu-alukan jika ada sesiapa hendak ambil alih The Red Warriors (TRW) serta bersedia berunding dan menyerahkan ‘baton’ ini pada bila-bila masa,” katanya yang berpuashati dengan mutu persembahan import baru, Austin Amutu dan Gilmar Jose Dos Santos Filho.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 8:19 AM