Kuala Lumpur: Cabaran mendapatkan dana mencukupi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2015 halangan utama dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Presiden Tan Sri Annuar Musa berkata, kekurangan dana menyebabkan mereka mungkin tidak mampu bersaing dengan enam pasukan Liga Super lain yang dikatakan mempunyai kewangan kukuh.

Enam pasukan itu adalah Selangor, FELDA United FC, Johor Darul Ta’zim (Johor DT), PDRM, Pahang dan Terengganu.

“Saya harap KAFA memilih jawatankuasa barunya 15 November ini daripada kalangan yang mampu menyumbang dan mencari dana untuk KAFA.

“Saya juga menyeru anak-anak Kelantan tampil membantu KAFA mendapatkan pelbagai bentuk tajaan sedaya mungkin,” kata Annuar dalam entri terbaru laman sosial Facebooknya semalam.

“Sama-sama kita berusaha cara sendiri agar yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Demi Kelate kita,” katanya.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, beberapa pasukan tempatan mendapat suntikan dana antara RM8 hingga RM10 juta berbanding pasukan Kelantan yang tidak mempunyai peruntukan khusus menghadapi musim baru Liga M. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:05 AM