Oleh Norizuan Shamsuddin


Kota Bharu: Tan Sri Annuar Musa terus mendapat mandat untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai presiden KAFA bagi penggal 2014 hingga 2018 apabila disahkan menang tanpa bertanding.

Kongres Tahunan KAFA kali ke-60 yang berlangsung di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC), semalam, menyaksikan Annuar terus memperolehi kepercayaan daripada ahli-ahli gabungan untuk memikul tanggungjawab sebagai presiden.

Annuar memimpin persatuan berkenaan tiga penggal berturut-turut selepas menggantikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada pemilihan 2007-2010 dan 2010-2014.

Sementara itu, keputusan bagi jawatan timbalan presiden kekal disandang Datuk Seri Afandi Hamzah, manakala naib presiden pula adalah Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Nasir Hamzah dan Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz.

Sementara itu, Afandi berkata, proses pemilihan berjalan lancar walaupun tidak berlaku banyak perubahan pada pimpinan tertinggi.

Katanya, keputusan itu membuktikan persefahaman jitu antara ahli gabungan dalam menerajui KAFA untuk terus memajukan mutu bola sepak Kelantan.

“Pihak perwakilan khususnya setiap ahli gabungan sebulat suara memilih Tan Sri Annuar untuk terus menerajui KAFA.

“Kita yakin beliau dapat menerajui KAFA ke arah lebih cemerlang,” katanya, semalam.

Pada majlis itu, Annuar tidak hadir kerana baru selesai menjalani pembedahan di ibu negara dan dinasihatkan berehat sehingga pulih sepenuhnya.

Mengulas perancangan KAFA musim depan, Afandi berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan khusus memastikan badan bola sepak itu mempunyai kewangan kukuh menguruskan pasukan.

Katanya, KAFA memerlukan peruntukan dana RM10 juta bagi pengurusan pasukan dan pembangunan bola sepak negeri untuk musim 2015.

“Kalau dilihat daripada anggaran perbelanjaan, kita memerlukan peruntukkan sekurang-kurangnya RM10 juta untuk menguruskan pasukan dan pembangunan bola sepak negeri.

“Kita perlu ingat bahawa KAFA bukan saja menguruskan pasukan negeri tapi juga bertanggungjawab membuat program pembangunan dari akar umbi, menganjurkan liga tempatan, pembangunan jurulatih dan sebagainya. Jadi, kita memerlukan dana besar untuk menguruskan semua itu

“Kita berharap jawatankuasa yang baru ini dapat bekerjasama dengan memikirkan cara untuk memperkukuhkan kewangan KAFA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:01 AM