AMRIL Aiman (kiri) bersama Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Azran Fitri Rahim (tengah) di Majlis Hari Raya Aidilfitri.
AMRIL Aiman (kiri) bersama Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Azran Fitri Rahim (tengah) di Majlis Hari Raya Aidilfitri.
Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling dan Attirmidzie Rahm


BERSANDARKAN slogan Islamik, ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz menyediakan 16 pelan tindakan untuk mengembalikan semula reputasi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekiranya dipilih sebagai presiden dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal berlangsung di Wisma KAFA, 6 Julai ini.

Amril Aiman berkata, beliau serius mahu menerajui badan induk bola sepak negeri itu biarpun terpaksa bersaing dengan tiga lagi calon lagi iaitu Tan Sri Annuar Musa, Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahim untuk merebut jawatan presiden KAFA.

Katanya, dengan menggunakan slogan ‘Bola sepak dalam lingkungan ajaran Islam’, beliau memberi jaminan bertanggungjawab sepenuhnya menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda bola sepak Kelantan sekiranya diberi mandat kelak.

“Saya merangka 16 pelan tindakan untuk proses tranformasi KAFA termasuk bertanggungjawab sepenuhnya dengan kos pengurusan pasukan Liga Perdana, Piala Presiden, dan Piala Belia untuk tempoh 2019 hingga 2023.

“Hasrat paling utama ialah memartabatkan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) ke arah pembentukan pemain dari peringkat akar umbi dan perubahan drastik ke atas cara pemilihan pemain dengan menubuhkan jawatankuasa pemilihan yang diketuai ketua jurulatih.

“Saya juga bersetuju menyelesaikan hutang lapuk KAFA membabitkan bekas pemain seperti yang dilaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut perancangan untuk mengembalikan reputasi pasukan dan KAFA, Amril berharap dapat menyuntik kembali semangat dan motivasi setiap PBJ dengan mengaktifkan kembali Liga PBJ.

“PBJ juga akan memiliki pejabat rasmi sendiri untuk memastikan pengurusan lebih sistematik, di samping membantu PBJ menjana keuntungan bagi menampung kos pengurusan.

“Saya juga merancang untuk menswastakan pasukan pada tahun 2021 dan merangka pembangunan futsal (lelaki dan wanita) dan bola sepak pantai negeri ini,” katanya.

Untuk rekod, Amril Aiman pernah dilantik sebagai pengurus skuad Piala Belia Kelantan (2017) dan penolong bendahari dalam barisan kepimpinan KAFA selepas Bibi Ramjani menang pada kongres pemilihan September 2017.

Di Kuala Lumpur, Annuar Musa berkata, bakal peneraju badan itu mestilah individu yang benar-benar faham kerenah bola sepak negeri itu.

Beliau yang belum lagi memikirkan untuk menerima pencalonan menerajui KAFA berkata, mereka yang benar-benar berminat mestilah menilai keupayaan diri sebelum dipilih sebagai presiden.

“Saya pun tak fikir lagi. Tak tengok lagi siapa calonnya, adakah mereka juga serius atau tidak. Saya banyak hal di Parlimen nak difikirkan dan sebagai Setiausaha Agung UMNO,” katanya ketika ditemui di Parlimen di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:30 AM