PESERTA   menghantar basikal di gerai polygon sebagai persiapan akhir sebelum kejohanan.
PESERTA menghantar basikal di gerai polygon sebagai persiapan akhir sebelum kejohanan.
Alias Abd Rani dan Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix Sikit 2 di Lukut, Port Dickson secara rasmi membuka tirai apabila 1,500 pelumba tempatan dan luar negara termasuk Thailand memulakan saingan hari ini.

Kejohanan dengan kerjasama Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) itu sememangnya ditunggu pelumba basikal lasak kerana menyediakan cabaran sukar untuk menguji kemampuan dan kemahiran individu mahupun berpasukan.

Sejak semalam lagi, bahang saingan mula dirasai apabila peserta mula mendaftar di kaunter pendaftaran yang terletak di Dewan Besar KVPD sejak jam 3 petang.

Pengarah Kejohanan Husain Jahit berkata, pertandingan kali ini bakal memberi cabaran buat semua yang beraksi kerana menyediakan laluan bukan sahaja berbukit malah terbuka.

“Ini bermakna peserta dikehendaki membawa air lebih banyak ditambah pula keadaan cuaca panas sedang melanda negara ketika ini. Malah trek kali ini lebih terbuka sekali gus memberi cabaran kepada mereka.

“Laluan sejauh 46.1 kilometer menyediakan pelbagai bentuk halangan untuk dilalui peserta sekali gus menguji daya ketahanan fizikal, mental serta kemahiran teknikal berbasikal lasak ditambah pula laluan pasti lebih mencabar jika hujan,” katanya.

Katanya, sesi pendaftaran berakhir jam 10 malam tadi dengan setiap peserta mengambil beg cenderahati dan nombor plat serta sesi taklimat.

“Segala persiapan pentas utama, khemah serta gerai dan tempat pelepasan di perkarangan KVPD berjalan lancar, malah keadaan trek yang bakal dilalui pelumba juga dalam keadaan baik.

“Saya berharap pertandingan ini dapat memupuk semangat kesukanan tinggi, selain merapatkan hubungan di kalangan pelumba basikal lasak di negara ini,” katanya.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Junior (19 tahun ke bawah), Lelaki Terbuka (20 hingga 35 tahun), Lelaki Junior Master (36 hingga 44 tahun), Lelaki Senior Master (45 tahun ke atas) dan Terbuka Wanita.

Sementara itu, Husain berkata, semua peserta diminta tiba lebih awal iaitu sebelum jam 7 pagi bagi mengelak pintu pagar KVPD ditutup.

“Peserta dibenarkan meletak kenderaan dalam KVPD tetapi sebelum jam 7 pagi. Jika terlewat, mereka perlu mencari tempat di luar yang tidak mengganggu kesesakan kepada orang lain.

“Untuk memeriahkan lagi acara ini, pelbagai gerai disediakan antaranya penaja utama Affin Bank Group, Orang Kampung Group, Polygon, Prou Cell dan Universal Fitness & Leisure Sdn Berhad (UFL) yang menaja barangan Deuter.

“Justeru, kami berbesar hati menjemput penduduk sekitarnya untuk hadir ke lokasi bagi memeriahkan lagi acara yang berlangsung di KVPD,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:16 AM