HARITH tiada keraguan sepanjang pertandingan Laugh Factory’s Funniest People In The World.
HARITH tiada keraguan sepanjang pertandingan Laugh Factory’s Funniest People In The World.

Pengalaman dalam bidang ‘stand up comedy’ selama hampir tiga dekad benar-benar menempatkan pengacara dan pelawak, Harith Iskander, 50, dalam kelas tersendiri. Malah, dia turut menjadi inspirasi kepada ramai pelawak baru.

Terkenal dengan lawak yang sarat dengan mesej, Harith turut bijak menyampaikannya dalam nada menghiburkan.

Bukan lawak kosong semata-mata, rata-rata persembahannya turut menyentuh isu kritikal.

Terbaru, dia mengharumkan nama Malaysia pula apabila dinobatkan juara dalam pertandingan Laugh Factory’s Funniest People In The World.

Harith antara 55 pelawak dari seluruh dunia yang bertanding pada acara yang berlangsung di Levi, Finland itu.

Mendapat pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa, Harith bagaimanapun tidak terlepas daripada kata-kata sinis ramai.

Ada yang mempertikaikan kemampuannya bahkan lebih kasar, melabelkan Harith sebagai tidak kelakar.

Wartawan RAP, Georgie Joseph ([email protected]) mendalami isi hati Harith mengenai pandangan sedemikian serta bertanyakan pengalamannya sepanjang pertandingan berkenaan.

RAP: Tahniah sekali lagi kerana mengharumkan nama negara di dunia dengan kemenangan baru-baru ini. Bagaimana perasaan sekarang? Masih tidak percaya?

HARITH: Sejak pulang ke tanah air saya memang tak henti-henti menerima undangan temu bual dan bercerita mengenai pencapaian saya. Di mana-mana saya pergi, orang ramai menegur dan ucapkan tahniah. Memang perasaan masih lagi ‘high’ dan rasa gembira dengan kemenangan saya itu.

RAP: Sejujurnya, adakah anda terdetik akan menjadi pemenang dalam pertandingan bertaraf dunia itu? Ada sebarang keraguan sepanjang pertandingan?

HARITH: Tiada keraguan langsung. Saya memang sangat yakin dalam pertandingan itu kerana percaya dan tahu kemampuan diri. Lagipun, saya tahu dengan 26 tahun pengalaman dalam bidang ‘stand up comedy’, saya yakin lawak saya boleh mencuit hati penonton antarabangsa.

RAP: Apa yang Harith belajar daripada peserta lain? Semestinya perspektif mereka berbeza baik mengenai bidang komedi mahupun menyentuh pasal kehidupan peribadi.

HARITH: Seramai 19 pelawak dari 19 negara pada peringkat separuh akhir itu masing-masing memiliki kekuatan sendiri. Sebelum ke Finland kami semua sudah saling mengenali menerusi Facebook . Jadi apabila tiba di Helsinki kami terus jadi seperti kawan.

Ada di antara mereka juga pelawak agak terkenal di Eropah serta memiliki pengalaman luas dan pengikut ramai. Apabila kami sudah berkumpul, tidak ada satu saat pun keadaan menjadi bosan atau sunyi kerana setiap masa sentiasa bergurau dan membuat bising.

RAP: Ramai yang sinis mengatakan anda tidak kelakar. Adakah kritikan sebegitu mengguris hati anda?

HARITH: Kelakar dan lawak itu macam makanan juga dan selera setiap orang berbeza. Saya sendiri tidak suka makan durian tetapi bukan bermaksud durian tidak sedap. Berjuta-juta orang kata durian adalah buah-buahan paling sedap. Sama juga saya terima 3.6 juta undi dalam masa 24 jam selepas pertandingan akhir dari seluruh dunia yang menonton final secara langsung. Kalau ada yang rasa tak kelakar, itu selera mereka. Saya tak boleh salahkan mereka.

RAP: Jelas sekali, kemenangan Harith berjaya mengubah landskap bidang komedi di Malaysia. Terus terang, apa makna kejayaan itu buat anda secara peribadi?

HARITH: Saya gembira dapat meningkatkan nama Malaysia ke taraf antarabangsa. Selama ini saya sendiri percaya komedi Malaysia boleh dikatakan sama hebat dengan komedi dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Saya harap kemenangan ini akan memperkenalkan dan mangharumkan lagi nama Malaysia khususnya dalam kalangan peminat ‘stand up comedy’.

RAP: Bagaimana pengalaman Harith di sana? Ramai hanya melihat kegembiraan Harith di permukaan tapi sebenarnya tidak tahu cabaran dihadapi di sana. Ada apa-apa peristiwa yang menarik untuk dikongsikan?

HARITH: Memang seronok pengalaman sepanjang berada di Finland. Selain bertanding, penganjur turut menyediakan beberapa aktiviti untuk kami seperti meluncur ais, menaiki kenderaan salji dan melawat tempat bersejarah. Tidak dinafikan, ada masa-masa kami jadi tertekan juga terutama pada malam pertandingan sebenar. Semua pelawak pun memang mahu menang jadi suasana agak tegang di belakang pentas sebelum pertandingan dimulakan. Bagaimanapun, sebaik ia berakhir kami kembali berkawan semula.

RAP: Sekarang ramai yang bangga dengan Harith dan berharap anda buat sesuatu daripada kemenangan itu. Sudah ada sebarang perancangan untuk tahun depan?

HARITH: Sebagai juara pertandingan itu, saya bakal ke AS tahun depan untuk menjalankan siri jelajah komedi dan juga terbabit untuk membuat promosi serta pemasaran. Ikut perjanjian, saya diminta pergi 10 kali kerana wang kemenangan itu dibayar secara ansuran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 1:18 PM