Safizan Yakin


Kuala Lumpur: Pameran Poskad Dunia di galeri Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) diiktiraf Malaysian Book of Records sebagai 'Foto Bersaiz Poskad Terbanyak Yang Dikumpul Dalam Satu Pameran' dengan 6,102 poskad.

Foto yang dipaparkan merangkumi semua genre seperti kehidupan kecil senifoto macro ke foto jalanan, kehidupan seharian, foto kembara, foto pemandangan hingga foto kebudayaan sesuatu bangsa.

Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Zain Azrai Rashid yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan merasmikan Pameran Poskad Dunia ini dengan meletakkan poskad yang ke 6,102 sebagai

gimmick pelancaran.

Zain berkata, pengajuran program seperti ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) sebagai ikon dan pusat maklumat pelancongan dan kebudayaan negara.

Katanya, pameran ini juga diharapkan dapat membantu karyawan untuk menengahkan bakat dan hasil seni serta menjadikan Matic sebagai salah satu lokasi berkarya dan membuat promosi serta publisiti hasil seninya.

Pihak Malaysia Book of Record juga akan membantu pihak Matic dan Street2Street Malaysia untuk mendapatkan pengiktirafan World Book of Record kelak.

Seramai 113 jurufoto mengambil bahagian di dalam pameran ini yang akan berakhir pada 31 Oktober 2016.

Program ini adalah satu inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan di antara Street2Street Malaysia dan Matic dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 6:51 PM