Sekumpulan Penyelam dari Pos Malaysia menyelam di kawasan peti Pos Malaysia dasar laut di Pulau Layang-Layang hari ini. FOTO Bernama
Sekumpulan Penyelam dari Pos Malaysia menyelam di kawasan peti Pos Malaysia dasar laut di Pulau Layang-Layang hari ini. FOTO Bernama

Pulau Layang-Layang : Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini melancarkan peti pos dasar laut di pulau ini, sekali gus mencipta nama dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai peti pos dasar laut terdalam di negara dengan kedalaman 40 meter dari permukaan laut.

Peti pos dasar laut itu ditempatkan sejak 25 Julai lalu di Pulau Layang-Layang, iaitu pulau yang terletak 300 kilometer dari pantai Sabah dan mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan menggunakan kapal terbang dari Kota Kinabalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, kedudukan peti pos itu menjadikannya sebagai peti pos dasar laut terdalam di dunia mengatasi negara lain seperti Susami, Wakayama di Jepun dengan kedalaman 10 meter, yang ketika ini memegang Guinness World Records.

"Ini bermakna kita perlu membuat permohonan kepada Guinness World Records bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap rekod menempatkan peti pos pada kedalaman 40 meter di Pulau Layang-Layang ini.

"Peti pos dasar laut ini merupakan projek pos pelancongan kedua; selepas yang pertama dilancarkan di Gunung Kinabalu sebagai peti pos tertinggi di Malaysia.

"Sudah pasti ia menjadi produk pelancongan baharu serta daya tarikan kepada komuniti penyelam dari seluruh negara," katanya kepada media selepas melancarkan peti pos dasar laut itu, di sini.

Turut hadir, Panglima Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Halim Shafie dan Setiausaha Bahagian Keselamatan Kedaulatan Maritim Shakib Ahmad Shakir.

Johari berkata, peti pos dasar laut itu membolehkan penyelam di Pulau Layang-Layang berkongsi pengalaman bersama keluarga dan rakan menerusi kiriman poskad kalis air dengan cop pos khas dan logo 'Malaysia Book of Records'.

"Poskad dari Pulau Layang-Layang ini juga boleh disimpan sebagai kenangan dan dijadikan bahan koleksi," katanya.

Pada majlis sama, Jailani turut melancarkan poskod khas bernombor 88005 kepada Pulau Layang-Layang sebagai usaha meningkatkan kemudahan pos kepada para pelancong dan kakitangan yang tinggal di pulau itu.

Jailani berkata kementerian menerusi Pos Malaysia dan SKMM juga melantik Avillion Layang-Layang Resort sebagai ejen pos di pulau itu.

Ini termasuk menyediakan perkhidmatan posmen dasar laut pertama di Malaysia bagi memungut semua poskad kalis air dari dasar laut yang dikirim para penyelam, kata Jailani.

"Ini merupakan sumbangan kementerian dalam memperkasa kedaulatan Malaysia di Pulau Layang-Layang menerusi penyediaan kemudahan komunikasi termasuk perkhidmatan pos, poskod khas dan peti surat dasar laut," katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata dua posmen yang dilantik akan ditugaskan untuk memungut dan mengumpulkan poskad kalis air dari peti pos dasar laut itu.

"Kutipan poskad ini akan diadakan secara segera mengikut jadual. Semua poskad termasuk surat akan dihantar menggunakan penerbangan MASWings yang bertolak dua kali seminggu dari pulau ini dan kemudian dihantar ke Pos Malaysia Kota Kinabalu untuk proses seterusnya," katanya.

Sementara itu, Victorley Marden, 25, dan Ritchie Alester Lee, 35, yang dilantik menjadi posmen dasar laut itu berasa sangat teruja atas kepercayaan diberikan dan akan berusaha memastikan tanggungjawab digalas dengan sebaiknya.

Lee yang bertugas sebagai pengurus pusat selam skuba di pulau itu mempunyai pengalaman menyelam lebih 10 tahun dan memiliki lesen menyelam pada 2001, manakala Marden sebagai jurulatih selam, mula mendapat lesen menyelam pada 2011.

Kedua-dua anak tempatan berasal dari Kota Belud itu akan memastikan poskad dikirim menerusi peti pos dasar laut tersebut selamat sampai kepada penerima bagi membantu menjayakan program inisiatif Pos Malaysia dan SKMM itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 8:45 PM