Reuters

Paris: Olympique Lyonnais berharap kepulangan penyerang handalan Alexandre Lacazette (gambar) akan memberi semangat terhadap kempen Liga Juara-Juara apabila berdepan tuan rumah Juventus dalam Kumpulan H, awal pagi esok.

Lyon tewas perlawanan keenam daripada 12 penampilan dalam semua pertandingan apabila mereka tunduk 0-2 di tangan pendahulu Ligue 1 Nice Jumaat lalu tetapi mereka bermula tanpa Lacazette, yang kembali daripada rehat lima minggu akibat kecederaan pada separuh masa kedua.

Tanpa pemain Perancis itu, Lyon gagal menjaringkan gol dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka.

“Kami berada dalam situasi sukar, kami perlu kembali berusaha dan bertahan,” kata penjaga gol Anthony Lopes.

Lyon berada di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata, satu mata di belakang pendahulu Juventus, yang bersiap sedia untuk perlawanan di Parc OL dengan kemenangan 2-1 ke atas Udinese dalam Serie A.

Penyerang Juventus Paulo Dybala, yang menjaringkan kedua-dua gol kelmarin berkata, kunjungan ke Lyon adalah permulaan siri perlawanan yang akan mencorakkan keputusan mereka musim ini.

“Minggu depan pastinya sukar tapi sepanjang bulan depan pastinya genting dalam konteks kempen musim ini,” katanya dengan Juve dijangka berdepan aksi Serie A menentang AC Milan, Sampdoria dan Napoli berturut-turut selepas berdepan Lyon.

Pendahulu Serie A Juve mungkin kehilangan khidmat pertahanan Giorgio Chiellini untuk perlawanan awal pagi esok tetapi jurulatih Massimiliano Allegri tidak menunjukkan tanda panik.

“Chiellini cedera sebelum menentang Udinese. Ia bukan sesuatu yang serius buatnya dan kami akan lihat sama ada dia cukup cergas untuk menentang Lyon,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 8:34 AM