RONALDO mencabar penjaga gol SPAL, Etrit Berisha pada perlawanan Serie A, Sabtu lalu. FOTO AFP
RONALDO mencabar penjaga gol SPAL, Etrit Berisha pada perlawanan Serie A, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

ANTHONY Lopes melabelkan Cristiano Ronaldo sebagai sangat luar biasa dan penjaga gol Lyon itu mengakui betapa sukar tugas yang akan digalas untuk mengekang rakan senegara dari Portugal itu apabila kelabnya bertemu Juventus pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

“Saya rasa amat bertuah kerana pernah beraksi bersamanya. Dia adalah seorang kapten dan mempunyai perwatakan luar biasa,” katanya ketika ditanya pengalaman beraksi bersama Ronaldo.

Lopes, 29, dilahirkan berhampiran Lyon dan menghabiskan seluruh kariernya bersama kelab itu.

Bagaimanapun dia mewakili Portugal kerana mempunyai pertalian darah di sana dan sudah melakukan tujuh penampilan dengan dua daripadanya beraksi bersama Ronaldo termasuklah ketika Portugal memenangi Euro 2016.

“Saya sudah beraksi di kejohanan utama bersamanya iaitu di Euro dan Piala Dunia yang mana anda perlu menjalinkan hubungan bersama rakan sepasukan. Melakukan apa yang dilakukan oleh Ronaldo setiap hari adalah sangat luar biasa.

“Barisan pemain hari ini menjadikannya sebagai inspirasi,” katanya.

Juventus dan Ronaldo berkunjung ke Lyon Khamis ini untuk aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Lyon dilihat pasukan bukan pilihan berbanding Juventus yang berbelanja besar termasuk mendapatkan Ronaldo yang kini berusia 35 tahun.

Tahun lalu Lionel Messi memusnahkan impian Lyon apabila meledak dua gol ketika Barcelona membelasah gergasi Perancis itu 5-1 pada aksi timbal balik pusingan kedua selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama.

“Apabila anda bertemu Barcelona dan Juventus, cabaran akan datang daripada pelbagai sudut. Tumpuan pasti terarah kepada Ronaldo,” kata Lopes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 10:18 AM