PENYERANG Juventus, Moise Kean (kanan) merembat masuk gol kemenangan pasukannya. FOTO AFP
PENYERANG Juventus, Moise Kean (kanan) merembat masuk gol kemenangan pasukannya. FOTO AFP
AFP

Rom: Jaringan lewat Moise Kean memastikan kemenangan penting Juventus, 2-1 di Sassuolo dalam kempen Serie A, malam tadi, sekali gus membolehkan mereka hanya satu mata di belakang pasukan tangga ketiga, Napoli.

Sassuolo sudah melakukan aksi terbaik untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata, namun Kean menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum perlawanan tamat.

Bola hantaran jauh pemain pertahanan, Leonardo Bonucci disambar Kean, yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-67 bagi menggantikan Alvaro Morata, sebelum dia merembat bola melepasi kaki penjaga gol, Andrea Consigli.

Juve kini menduduki tempat keempat, lapan mata di belakang pendahulu, AC Milan dan pada masa sama, lapan mata di atas Roma, yang mengejar untuk memburu tempat terakhir ke Liga Juara-Juara Eropah.

Ia sudah pasti kekalahan mengecewakan buat Sassuolo yang jelas pasukan lebih baik sepanjang perlawanan dan menghasilkan beberapa percubaan termasuk tandukan Davide Frattesi yang terkena palang gol.

Gianluca Scamacca turut cemerlang dan memaksa penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny melayangkan badan untuk menyelamatkan percubaannya.

Peluag terbaik Juve hampir disempurnakan Paulo Dybala, namun Frattesi bertindak pantas menghalang bola menerjah jaring golnya.

Sassuolo memecah kebuntuan dengan gol sulung perlawanan pada minit ke-39 menerusi Giacomo Raspadori, sebelum Dybala menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 8:29 AM