ZIYECH melakukan percubaan ke gawang Lyon.
ZIYECH melakukan percubaan ke gawang Lyon.

Amsterdam: Ajax Amsterdam menghasilkan persembahan setaraf kegemilangan masa lampau kelab itu apabila mereka membelasah Olympique Lyonnais 4-1 awal pagi semalam sekali gus berada di ambang final Eropah pertama sejak 1996.

Bertrand Traore mengemudi kemenangan itu dengan dua gol dalam perlawanan menarik separuh akhir pertama Liga Europa yang mana kelab Belanda itu menampilkan kesebelasan utama dengan purata usia bawah 22 tahun.

Pemain remaja Denmark, Kasper Dolberg dan Amin Younes turut menyumbang gol buat Ajax manakala Mathieu Valbuena membalas buat pelawat dari Perancis yang patutnya boleh menyumbat tiga atau empat gol.

Penampilan final terakhir Ajax di Eropah adalah Liga Juara-Juara 1996 apabila mereka tumpas kepada Juventus menerusi penentuan penalti.

Ajax mendahului bertentangan dengan arus permainan apabila pada minit ke-25, Traore menanduk masuk sepakan percuma melencong Hakim Ziyech melepasi jangkauan penjaga gol Anthony Lopes.

Penyerang Burkina Faso itu, yang dipinjamkan dari Chelsea, turut membantu gol kedua Ajax sembilan minit kemudian apabila dia menanduk sepakan Lopes ke kaki Dolberg, yang merembat leret melepasi penjaga gol Portugal itu.

Ajax mengukuhkan kedudukan empat minit selepas rehat apabila Ziyech melorongkan bola kepada Younes, yang mengatasi Lopes dengan percubaan yang terbias.

Valbuena mengurangkan defisit pada minit ke-66, merembat masuk dari penjuru kotak penalti. Nabil Fekir hampir meraih gol kedua Lyon tidak lama kemudian namun dinafikan oleh Andre Onana.

Traore mengembalikan kelebihan tiga gol Ajax pada minit ke-71 selepas menampan masuk hantaran silang Ziyech. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:53 AM