REKAAN vintaj ciri prestasi.
REKAAN vintaj ciri prestasi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Selepas kejayaan demi kejayaan dicipta Ford Motor Company semenjak pembabitannya dalam dunia automotif sejak 1901, syarikat gergasi ini terus menempa nama di persada dunia dengan ciptaan jentera lebih unik dan berprestij.

Selain kejayaan mencipta Ford Mustang yang bernadikan enjin V8, nama syarikat itu terus melonjak dan mula mencipta pelbagai lagi jentera yang menarik.

Sekitar 1960-an hingga 1970-an, Ford tampil dengan model Escort pertama mereka iaitu Ford Mark 1 atau MK 1.

Biarpun tujuan asal pembinaannya untuk kereta keluarga, namun ia juga terbabit dalam kejohanan rali dunia menjadikan jentera ini digilai golongan muda apabila digunakan dalam filem Fast Furious 6.

Di pasaran Malaysia, Ford Escort generasi pertama ini didatangkan dengan enjin 1.1 liter dan 1.3 liter di mana kedua-dua enjin itu daripada siri Kent atau dikenali dengan nama Crossflow.

Di Melaka, sebuah Ford MK 1 berwarna biru amat berbeza dan unik berikutan proses restorasi dilakukan pemilik begitu berbeza.

Selain paras cukup mempersonakan sesiapa sahaja, jentera buatan 1969, milik Anas Mohd Yunus, 30, mempunyai rangkaian kuasa luar biasa apabila enjin bersesaran 4,000cc atau enjin V8 menjadi pilihannya .

Enjin 1UZ-FE hanya boleh didapati dari Lexus LS400 atau Toyota Crown Majesta biarpun enjin ini dalam keadaan standard tanpa dilakukan sebarang pengubahsuaian, ia memiliki lebih 260 kuasa kuda.

Untuk memuatkan enjin sebegitu pemilik terpaksa membuat tapak baru dan semua pendawaian dirombak semula termasuk mengubah kedudukan bateri ke bahagian belakang.

Berikutan enjin V8 tidak dilakukan secara manual, pemilik meningkatkan lagi sistem kuasanya dengan memasang ekzos bersaiz tiga inci ke bahagian tepi kereta dan bunyi terhasil membingitkan telinga, namun digemari peminat modifikasi.

Suspensi asal jentera turut diubah suai di mana pemilik memilih penyerap hentak boleh laras Nissan Silvia S15 pada bahagian hadapan manakala di bahagian belakang penyerap hentak dan spring dedaun Toyota Hilux.

Untuk sistem brek jentera ini pula, pemilik memilih sistem Toyota Crown Majesta pada bahagian hadapan manakala belakang menggunakan Nissan Silvia S13.

Ia tampil lebih menawan apabila Rim Atara Racing bersaiz 15 inci menghiasi jentera berjalur putih ini manakala ruang dalamannya tiada perubahan ketara selain kerusi asal dibaluti PVC warna biru putih, tombol gear binaan khas, stereng Sparco dan set pendingin hawa yang digelar ‘Aircond Gantung’.

Jentera menelan kos restorasi lebih RM50,000 ini sering mencuri tumpuan ketika beraksi di jalanan dan saat dipamerkan menjadi perhatian orang ramai untuk bergambar bersamanya.

SPESIFIKASI:

Fork MK 1 1969

Enjin: V8 1UZ-FE (4,000cc) 260 kuasa kuda

Ekzos: binaan khas 3 inci saluran terus (hala tepi)

Penyerap hentak: boleh laras Nissan Silvia S15 (hadapan)

Penyerap hentak dan spring Toyota Hilux (belakang)

Brek: Toyota Crown Majesta (hadapan)

Brek: Nissan Silvia S13 (belakang)

Rim: Atara Racing 15 inci

Kerusi asal: balut PVC biru putih

Roda: stereng Sparco

Tombol gear: binaan khas

Perumah meter: kelajuan binaan khas

Kos Modifikasi: RM 50,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:01 AM