AHMAD Suaidi (tengah) melawat Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya antara kemudahan canggih yang disediakan untuk Sukma 2024. FOTO Bernama
AHMAD Suaidi (tengah) melawat Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya antara kemudahan canggih yang disediakan untuk Sukma 2024. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Kontinjen Perak yakin dengan kemampuan Sarawak untuk menyediakan kemudahan yang terbaik bagi kesemua acara yang dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang akan berlangsung di Bumi Kenyalang pada Ogos ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang juga ketua kontinjen (CDM) Sukma Sarawak berkata selaku tuan rumah pada temasya kali ini, Sarawak dilihat mempunyai kelebihan memandangkan kebanyakan venue sudah pun siap dibina sebelum ini dan hanya perlu dinaik taraf.

"Sarawak mempunyai venue yang sedia ada berbanding dengan tuan rumah (sebelum ini) di negeri lain yang terpaksa membina venue baharu.

"Cuma kita lihat ada beberapa kerja ubah suai dan baik pulih saja yang dibuat, di samping itu ada satu atau dua venue yang sedang dilaksanakan … saya rasa Sarawak mampu menyiapkan dan mengikut spesifikasi standard sukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di beberapa fasiliti sukan bersempena dengan Sukma di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Suaidi bersama kira-kira 30 delegasi daripada kerajaan Perak meninjau persiapan temasya itu di beberapa lokasi termasuk Stadium Sarawak, Stadium Negeri dan Pusat Akuatik Pandelela Rinong.

Ahmad Suaidi berkata mengambil kira keluasan Sarawak, pihaknya turut mengadakan tinjauan di lokasi Sukma yang terdapat di wilayah tengah dan utara negeri seperti Miri, Sibu, Mukah dan Bintulu.

"Antara tujuan kita membuat lawatan awal ini agar kita biasa dengan kawasan-kawasan di sini dan kita sahut cabaran untuk menjadi satu pasukan dan memastikan Sukma edisi ke-21 ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 9:55 PM