KHAIRODDIN menerangkan mengenai lanyard yang dipakai jemaah untuk memudahkan pengenalan. FOTO Hussain Jahit.
KHAIRODDIN menerangkan mengenai lanyard yang dipakai jemaah untuk memudahkan pengenalan. FOTO Hussain Jahit.
Husain Jahit


Makkah: Sistem pemakaian lanyard yang berbeza warna dalam kalangan jemaah haji Malaysia mengikut maktab penginapan yang diperkenalkan sejak 2017 diteruskan bagi melancarkan operasi musim haji 1445H/2024.

Pengarah Operasi Maktab, Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, Khairoddin Ahmad, berkata lanyard pertama mempunyai empat warna bagi menentukan pengenalan zon penginapan bagi jemaah haji ketika melakukan umrah pertama semasa tiba di Makkah.

"Ia bagi memudahkan unit peronda TH di Masjidil Haram mengenal pasti hotel penginapan jemaah berkenaan jika mereka tersasar daripada kumpulan.

"Satu lagi lanyard mempunyai lapan warna yang harus dipakai setiap masa kerana ia adalah tanda pengenalan kepada maktab jemaah terbabit sama ada Maktab 77, Maktab 78, dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan lain Khairuddin berkata, dalam hal pemilihan hotel penginapan untuk jemaah haji, TH sentiasa mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk jarak dengan masjid serta kemudahan untuk jemaah orang kelainan upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang mengerjakan ibadah haji.

"Bagi jemaah OKU atau berkerusi roda, kita akan cuba letakan mereka dalam tingkat yang rendah, jika ada kekosongan selain bilik yang dekat dengan lif.

"Pemilihan bangunan penginapan juga akan melalui penilaian yang ketat, ia termasuk kemudahan untuk OKU," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:46 PM