PEMAIN Pahang Rangers, Felipe (tengah) cuba melepasi pertahanan KL CITY FC di Stadium Tertutup Sukpa. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PEMAIN Pahang Rangers, Felipe (tengah) cuba melepasi pertahanan KL CITY FC di Stadium Tertutup Sukpa. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Pahang Rangers FC dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-2 pada saingan Divisyen 1 Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup Sukpa, hari ini.

Bermula garang tuan rumah mendapat gol pembukaan menerusi percubaan kencang Hamdin Zarif Mahmun seawal minit pertama permainan untuk menewaskan penjaga gol pelawat Muhammad Yazid Mohd Pakarurradzi.

Tersentak dengan gol awal Pahang Rangers, KL City FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muhammad Syahid Ajid Zainal Abidin pada minit ke tiga untuk mengikat kedudukan 1-1.

Kealpaan pelawat dihukum pada minit ke tujuh menerusi pemain import, Felipe de Souza dan jaringan ke tiga tuan rumah muncul pada minit ke-13 menerusi rembatan kencang Murilo Saad.

Pada minit ke-18, KL City FC merapatkan jurang gol apabila mendapat gol ke dua hasil jaringan sendiri pemain tuan rumah (Saad) yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Selesai babak pertama Pahang Rangers di hadapan 3-2.

Rentak cemerlang Pahang Rangers di gelanggang sendiri seolah tidak dapat dikawal lagi, apabila tiga gol dihasilkan pada babak ke dua menerusi Saad (m-25 dan m-34) dan Saiful Nizam Mohd Ali (m-29).

Pelawat yang cuba bangkit sepanjang babak kedua, namun beberapa percubaan yang dilakukan menerusi dua awang import mereka, Eom Jiyong dan Hussain Khademi gagal menggegarkan jaring gol tuan rumah.

Tok Gajah yang dalam misi mencatat kemenangan pada baki perlawanan mendapat beberapa peluang menambah jaringan, namun percubaan jentera serangan tersasar selain dihalang penjaga gol.

Tempoh rehat panjang MPFL seolah memberi kelebihan kepada Pahang Rangers apabila bangkit mempamerkan corak permainan yang berkesan dalam usaha mereka memburu kedudukan teratas liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:15 PM