BERGAYA dengan konsep cafe racer.
BERGAYA dengan konsep cafe racer.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Sekali imbas mungkin ramai menganggap jentera dalam ruang ini adalah model klasik buatan Britain atau Jepun.

Namun jika diperhati lebih dekat, ia sebenar­nya jentera moden keluaran Amerika Syarikat, Cleveland CycleWerks yang asalnya berbentuk chopper sebelum ditransformasi ke konsep cafe racer.

Jentera Cleveland CycleWerks keluaran 2008 mempunyai enjin bersesaran 227cc milik Mohd Khalid Musa, 29, dari Ipoh, Perak, melakukan modifikasi secara keseluruhan dengan mengekalkan enjin asal serta penyerap hentak hadapan.

Jentera direka khas dan hanya dipersembahkan untuk pameran kereta dan motosikal di Art Of Speed baru-baru ini, ternyata mencuri tumpuan umum kerana padanan warna merah jambu serta menampilkan reka bentuk menawan.

Jentera yang diubah suai di garaj Rusty Factory ini mengambil masa hampir enam bulan untuk disiapkan. Kerja bermula membina kerangka besi bagi menempatkan enjin sebelum tangki dan bahagian lain yang dibina secara khas.

Sejurus kerangka disiapkan, dua lampu kabus kereta kebiasaan­nya digunakan pada bampar hadapan diletak di celah penyerap hentak jentera bagi menggantikan lampu utama.

Lebih menyerlah apabila motosikal diwarnakan merah jambu bagi mencuri tumpuan umum khususnya golongan kaum hawa.

Selepas kerja restorasi hampir selesai, dua rim TSR bersaiz 18 inci de­ngan padanan tayar lebar Swallow dipadankan untuk menjadikan lebih menawan.

Bagi meningkatkan prestasi enjin, pelbagai aksesori digunakan membabitkan karburetor UMA Racing dan sistem ekzos binaan khas menjadikan ia lebih berkuasa.

Biarpun ubah suai itu tampak ringkas dengan tidak mempunyai penyerap hentak belakang, kos modifikasi jentera berkenaan menelan belanja hampir RM10,000.

SPESIFIKASI:

Cleveland CycleWerks

Werks keluaran 2008

Ubah suai enjin:

- Enjin 227cc

- Karburetor UMA Racing

- Ekzos binaan khas

Ubah suai badan:

- Kerangka binaan khas

- Tangki minyak dan badan binaan khas

- Tempat duduk binaan khas

- Penyerap hentak hadapan asal

- Rim TSR dan tayar Swallow 18 inci

- Brek cakera asal

Bengkel:

- The Rusty Factory, Ipoh

Kos ubah suai:

- RM10,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:02 AM