PEMAIN Leverkusen puas selepas menjulang trofi liga. FOTO Reuters
PEMAIN Leverkusen puas selepas menjulang trofi liga. FOTO Reuters
Reuters

Leverkusen: Juara baharu Bayer Leverkusen mengenepikan Augsburg 2-1 pada hari terakhir perlawanan untuk menjadi pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga melengkapkan musim penuh tanpa kekalahan.

Pasukan bimbingan Xabi Alonso yang memburu treble juga melebarkan rekod Eropah tanpa kalah mereka merentasi semua pertandingan musim ini kepada 51 perlawanan.

Victor Boniface memintas bola daripada penjaga gol Augsburg, Tomas Koubek untuk mereka mendahului pada minit ke-12 sebelum Robert Andrich, sebahagian daripada skuad awal Euro 2024 Jerman, menggandakan kelebihan jaringan dari jarak dekat pada minit ke-27.

Augsburg mengurangkan defisit dengan Mert Komur meledak jaringan selepas sejam aksi berlangsung.

Leverkusen, yang akan menentang Atalanta dalam perlawanan akhir Liga Europa dan juga menentang Kaiserslautern dalam perlawanan akhir Piala Jerman pada 25 Mei, menamatkan saingan di tempat teratas dengan 90 mata, 17 di depan pasukan tempat kedua VfB Stuttgart.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:30 AM