ADAM (tengah) kementeriannya saya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan Faisal. FOTO Bernama
ADAM (tengah) kementeriannya saya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan Faisal. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim kini menunjukkan tanda-tanda kesembuhan yang positif.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata, proses rawatan pemain sayap sensasi berkenaan, ketika ini berjalan dengan lancar dan baik.

"Kita bagi ruang kepadanya (Faisal Halim) untuk kesembuhan dan setakat ini lawatan ke atasnya juga agak terhad dan hanya keluarga serta pihak pengurusannya, dibenarkan untuk melawat.

"Kementerian saya sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan Faisal Halim untuk sebarang perkembangan dari semasa ke semasa," katanya.

Adam berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tahap perkembangan kesihatan Faisal, pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2024, di sini, hari ini.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menakrifkan Faisal pulih sepenuhnya.

"Pemulihannya sedang berlaku dan kementerian saya bersama rakan-rakan strategik ISN, sedia membantu Faisal daripada segi fisioterapi dan rehabilitasi di ISN (Institut Sukan Negara), sekiranya dia perlukan," katanya.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan, selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, yang membataskan pergerakan dan percakapannya.

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia di Qatar Januari lalu, dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan.

Insiden itu adalah kejadian malang kedua menimpa pemain bola sepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu selepas itu, apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta'zim Safiq Rahim, dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada 7 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:01 PM