SERAMAI 116 peserta memulakan cabaran sukan lasak Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016 di pekarangan Taman Agro Teknologi MARDI, Langkawi, sebentar tadi. FOTO Hamzah Osman
SERAMAI 116 peserta memulakan cabaran sukan lasak Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016 di pekarangan Taman Agro Teknologi MARDI, Langkawi, sebentar tadi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 116 peserta mewakili 29 dari seluruh negara memulakan cabaran sukan lasak Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016 di sini, hari ini.

Acara yang memasuki edisi kelapan anjuran Akademi Pelancongan Langkawi (APL) itu bakal menguji kudrat peserta apabila mereka perlu menamatkan tiga disiplin acara iaitu pendakian, berlari dan berkayak.

Pengarah APL Zainab Othman berkata, cabaran paling besar kepada peserta adalah membabitkan pendakian 4,287 anak tangga sebelum peserta tiba di puncak Gunung Raya setinggi 781 meter dari aras laut di sini.

"Setiap pasukan yang diwakili empat peserta juga perlu menamatkan larian Gunung Raya-Pantai Tanjung Rhu sejauh 20.1 kilometer dan berkayak dari Tanjung Rhu-Pulau Pasir sejauh tiga kilometer.

"Semua peserta juga perlu membuat dan menggunakan lastik tradisional, selain menyediakan kerabu bronok sejenis makanan tradisi penduduk tempatan ketika melalui tiga stesen yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta terbabit di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, seorang peserta, Suhaimi Muhamdin, 41, dari Putrajaya berkata, dia teruja untuk menyertai LEC 2016 kerana cabaran yang disediakan penganjur mencabar dan menguji ketahanan fizikal dan mental.

"Saya baru pulang dari acara sukan lasak NORCHA Adventure Race (NAR) yang berlangsung di Portugal minggu lalu dengan jarak 350 kilometer, dan kali ini saya bersaing pula di negara sendiri.

"Cabaran mendaki 4,287 anak tangga adalah ujian terbesar di sini dan saya yakin dapat melakukannya berbekalkan pengalaman menduduki tempat ketiga ketika beraksi di Portugal baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 10:10 AM