SHAHRIL (kiri) dan Tahira bersama replika cek yang dimenangi.
SHAHRIL (kiri) dan Tahira bersama replika cek yang dimenangi.
Hamzah Osman


Langkawi: Impian seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat kemenangan kali ke-10 tahun ini dalam sukan lasak menjadi kenyataan apabila muncul juara Langkawi Climb & Run di Hutan Lipur Lubuk Semilang, di sini, semalam.

Mohd Shahril Jusoh, 29, mencatat masa satu jam 38 minit dan 42 saat untuk menamatkan pendakian 4,287 anak tangga di tangga helang seribu kenangan dan larian sejauh 15 kilometer, sekali gus dinobat sebagai juara keseluruhan kategori terbuka lelaki.

Bagi anggota TLDM berpangkalan di Lumut, kemenangan itu amat berharga kerana ia catatan kemenangan kali ke-10 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Saya memang minat acara sukan lasak sebegini dan sentiasa memantau hebahan menerusi media sosial dan tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai jika memperoleh kelulusan cuti daripada majikan.

“Kali ini cabaran paling lasak adalah bagi disiplin mendaki 4,287 anak tangga hingga ke puncak setinggi 781 meter dari aras laut,” katanya ketika ditemui di sini.

Tempat kedua disandang Ku Aliff Aiman Ku Zainol, 21, dari Pulau Pinang dengan catatan masa satu jam 40 minit dan 32 saat, manakala tempat ketiga menjadi milik Robert Baxter, 29, dari Afrika Selatan (1’42:41s).

Kategori terbuka wanita menyaksikan seorang suri rumah, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 27, dari Lumut, Perak muncul juara selepas mencatat dua jam dua minit dan 37 saat.

Tempat kedua kategori sama menjadi milik peserta Lim Choon Gan, 35, (2’26:52s) dan Kwan Yoke Leng, 36, (2’46:59s).

Juara kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai RM1,500, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing pulang bersama RM1,000 dan RM500.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Turut hadir, Pengarah Urusan Bina Darul Aman Berhad, Datuk Izham Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:16 AM