IZHAM (tengah) melancarkan program BDB Climb & Run Langkawi 2017 di  Underwater World Langkawi, kelmarin.
IZHAM (tengah) melancarkan program BDB Climb & Run Langkawi 2017 di Underwater World Langkawi, kelmarin.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bina Darulaman Berhad (BDB) yakin BDB Climb & Run Langkawi 2017 pada 22 April depan bakal memberi pengalaman yang berbeza kepada penggemar sukan acara larian, pendakian dan kecergasan fizikal yang mahukan aktiviti lebih mencabar.

Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff berkata, acara BDB Climb & Run Langkawi direka bagi memberi pengalaman unik kepada peserta untuk menguji ketahanan diri selain menikmati keindahan flora dan fauna.

“Acara ini direka untuk mencabar daya ketahanan peserta serta memerlukan semangat sepasukan yang tinggi. Ia akan menguji keupayaan fizikal dan kekuatan mental peserta kerana perlu mendaki 4,287 anak tangga.

“Di samping itu, peserta juga berpeluang menikmati pemandangan persekitaran yang dihiasi 160 jenis tumbuhan herba, 80 jenis pokok kayu, 73 spesis burung dan 169 spesis rama-rama,” katanya selepas melancarkan BDB Climb & Run Langkawi di Underwater World, Langkawi.

Izham turut mengakui penganjuran acara itu juga strategi serampang dua mata bagi mempromosikan sektor pelancongan di negeri Kedah.

“Peserta akan mendaki Tangga Helang Seribu Kenangan sepanjang 3.1km pada aras ketinggian maksimum 781 meter diiringi keindahan Hutan Hujan Lipur Sungai Sembilang yang terletak di Gunung Raya,” katanya.

BDB Climb & Run Langkawi memberi peluang peserta menawan puncak tertinggi di Pulau Langkawi.

Acara kedua iaitu BDB Extreme Jitra akan berlangsung pada 23 September di Tasik Darul Aman menampilkan cabaran berhalangan. Acara baru BDB Rafting Kulim pula akan menutup tirai kalendar tahun ini pada 18 November di Sungai Sedim, Kulim.

Pendaftaran atas talian boleh dibuat di laman sesawang www.bdbtriplechallenge.my manakala pendaftaran selepas itu hanya boleh dibuat di tempat berlangsungnya acara berkenaan di Tangga Helang Seribu Kenangan pada 22 April.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:18 AM