PASUKAN PSHAS ceria bersama hadiah dimenangi.
PASUKAN PSHAS ceria bersama hadiah dimenangi.

Langkawi: Kesungguhan dan kekuatan stamina empat pelajar yang mewakili Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, (PSHAS) Pahang sukar digugat lawan sekali gus membolehkan mereka membolot hadiah wang tunai RM2,000 selepas muncul juara kategori institusi pengajian tinggi (IPT) di Langkawi Extreme Challenge (LEC) 2016, baru-baru ini.

Pasukan diwakili Mohd Hakimi Gappor Ahmad, Ahmad Fakhru Radzi Mohd Ghazali, Raja Nur Aina Rahimi Raja Kamarulzaman dan Nor Masshahrina Norasid itu mengatasi 20 pasukan lain dalam kategori sama selepas menamatkan dua disiplin sukan lasak dengan catatan empat jam 22 minit dan 36 saat.

Bagaimanapun, acara berkayak Pantai Tanjung Rhu-Pulau Pasir sejauh tiga kilometer yang sepatutnya menjadi cabaran terakhir kepada semua peserta terpaksa dibatalkan penganjur akibat cuaca buruk.

Ahmad Fakhru Radzi selaku jurucakap kumpulan berkata, semangat kerja berpasukan serta disiplin tinggi sepanjang mengharungi cabaran mendaki dan larian menjadi rahsia kejayaan mereka.

“Dengan kesungguhan dan semangat yang kuat, pasukan kami berjaya menamatkan pendakian 4,287 anak tangga sebelum peserta tiba di puncak Gunung Raya setinggi 781 meter dari aras laut. Kami juga berjaya menamatkan larian Gunung Raya-Pantai Tanjung Rhu sejauh 20.1 kilometer.

“Bagaimanapun, penganjur membatalkan acara kayak kerana cuaca buruk,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah di Akademi Pelancongan Langkawi (APL).

Tempat kedua dimenangi pasukan Kolej Komuniti Kuala Langat yang diwakili Mohammad Akma Mohd Nasir, Muhammad Nur Mahzur Jumiran, Nur Anisyafina Abu Bakar dan A Jassinni menerusi catatan masa empat jam 36 minit 13 saat dan membawa pulang wang tunai RM1,500.

Tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 menjadi milik Muhammad Saiful Jamaludin, Muhammad Fitri Rahim, Siti Suria Mohd Nazri dan Nurul Anis Shafiq ahli Hashim dari Kolej Komuniti Baling dengan catatan masa empat jam, 49 minit lima saat.

Juara kategori terbuka dimenangi pasukan Smartan dengan catatan tiga jam, 36 minit, 27 saat, disusuli UITM Shah Alam  (empat jam 12 minit lapan saat) dan KKKL Adventure Team (empat jam 36 minit 28 saat).

Seramai 116 peserta mengambil bahagian pada acara yang memasuki edisi kelapan anjuran APL itu.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nayan. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Datuk Amir Md Noor dan Pengarah APL Zainab Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:24 AM