FJORD buatan yang memukau pandangan.
FJORD buatan yang memukau pandangan.
Hafiz Ithnin


BERKAYAK sejauh 30 kilometer (km) pergi balik dari Lautan Andaman sehingga ke Selat Melaka di Langkawi sememangnya satu pengalaman yang tidak dapat penulis lupakan bersama tiga sahabat yang lain.

Aktiviti itu yang amat menguji 'endurance' kami berempat untuk menamatkan aktiviti kayak dari Pantai Tanjung Rhu menuju ke papan tanda Kilim Geoforest Park yang berhadapan dengan Selat Melaka.

Meskipun mengambil masa sehingga lima jam berkayak, pengalaman menerokai Sungai Padang Lalang, Sungai Air Hangat, Sungai Kilim dan Sungai Kilim Geopark sememangnya sesuatu yang amat berharga.

Sengaja kami berempat menggunakan perkhidmatan sewaan khas untuk aktiviti kayak daripada 69 degreenorth yang amat profesional dan berpengalaman dalam aktiviti kayak di pulau itu.

Sepanjang berkayak, pemilik syarikat operator itu, Mohd Khairi Md Nayan yang juga jurulatih berkayak di Pulau Langkawi sentiasa berada di atas bot bersama rakannya untuk memastikan kami dalam keadaan selamat dan melalui laluan yang betul.

Tidak sekadar itu, beberapa kru sokongan operator juga memberikan khidmat terbaik termasuk membawa kami ke destinasi yang mempunyai pemandangan hijau yang begitu indah dari kaca mata penulis sebagai pelancong.

Dengan membayar harga perkhidmatan RM250 seorang, ternyata ia cukup berbaloi kerana bukan sahaja dapat menguji ketahanan fizikal dan mental untuk berkayak, malah melalui laluan yang cukup mencabar tetapi menarik.

PAPAN Tanda Geoforest Park menjadi destinasi yang dituju.
PAPAN Tanda Geoforest Park menjadi destinasi yang dituju.

MEMULAKAN aktiviti kayak di Pantai Tanjung Rhu.
MEMULAKAN aktiviti kayak di Pantai Tanjung Rhu.

MEMASUKI Gua Buaya dengan berkayak.
MEMASUKI Gua Buaya dengan berkayak.

Bermula dari Pantai Tanjung Rhu, kami mula menelusuri Sungai Padang Lalang yang mengambil masa sekitar 10 minit dan kemudian cabaran sebenar bermula apabila perlu menyelusuri Sungai Air Hangat yang agak panjang laluannya sekitar 10 km.

Dalam perjalanan menyelusuri Sungai Air Hangat, kami dibawa ke beberapa lokasi menarik antaranya surau terapung, merentasi Gua Buaya dan melalui pintu gerbang batuan buatan atau dikenali sebagai 'fjord' yang mempunyai pemandangan yang cukup memukau.

Menariknya, apabila berkayak, kita dapat merentasi Gua Buaya berbanding pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot persiaran yang hanya dapat melihat pintu gua itu sahaja.

Malah, ketika laluan tidak sibuk dengan bot persiaran aktiviti bergambar di fjord antara pengalaman yang turut menarik kerana kami boleh berhenti merakam posisi yang paling terbaik.

Salah seorang kru sokongan yang menyertai aktiviti itu yang ditugaskan sebagai penjaga keselamatan kami di dalam kayak, Mohamad Amri Othman berkata, laluan berkenaan antara yang popular bagi mereka yang gemarkan aktiviti menguji ketahanan fizikal untuk berkayak dalam kalangan pengunjung.

"Sebenarnya di Langkawi ini terdapat banyak laluan berkayak yang menarik dan salah satunya adalah laluan dari Tanjung Rhu merentasi Sungai Air Hangat dan menuju ke papan tanda Kilim Geoforest Park.

"Kita boleh melakukannya secara sehala sahaja tetapi bergantung kepada pelanggan jika mereka ingin menguji kecerdasan fizikal boleh berpatah balik ke tempat permulaan," katanya.

Pada hemat penulis, bagi pengunjung yang inginkan kelainan ketika percutian ke Langkawi, boleh melakukan aktiviti ini kerana ia amat berbaloi terutama jika anda gemarkan pelancongan lasak dan eko.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:46 AM