SEBAHAGIAN beg kait yang dihasilkan Julia.
SEBAHAGIAN beg kait yang dihasilkan Julia.

Muhamaad Razis Ismail

[email protected]

SIAPA sangka bermula daripada sekadar mengisi masa lapang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini produk sulaman kait yang dihasilkan Julia Selamat, 52, mampu menjana pendapatan.

Pelbagai produk sulaman kait yang dihasilkan ibu enam cahaya mata ini termasuk beg 'mak datin', beg telekung, bunga telur dan sebagainya mendapat sambutan menggalakkan peminat seni kreatif itu.

Sejak di bangku sekolah dia sudah mempunyai asas mengait yang dipelajari sendiri dengan menghasilkan pelbagai produk secara suka-suka.

Katanya, bagaimanapun aktiviti mengait itu dihentikan dalam satu tempoh lama selepas mendirikan rumah tangga kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga.

"Ketika PKP dilaksanakan, saya kembali berjinak-jinak dengan seni sulaman kait untuk mengisi masa lapang. Tambahan pula semua anak sudah besar, jadi saya mempunyai banyak masa terluang mengasah bakat yang sudah lama terpendam.

"Semangat menceburi bidang ini dengan lebih serius semakin bertambah apabila saya bertemu beberapa wanita di Hulu Langat (Selangor) yang berkongsi minat sama," katanya.

Jelasnya, pada mulanya, beg yang dihasilkan hanya 'suka-suka' digunakan sama ada kegunaan sendiri dan ahli keluarga terdekat.

"Bagaimanapun, apabila mereka melihat beg yang digunakan, ramai yang ingatkan ia dibeli di butik. Apabila mengetahui ia dihasilkan sendiri, mereka berminat untuk membeli.

"Bermula dari situ, saya mula membuka tempahan di media sosial. Pelanggan boleh membeli beg sedia ada atau membuat permintaan reka bentuk beg yang dikehendaki," katanya.

Menurutnya, setiap beg disiapkan dalam masa dua hari kerana ia memerlukan kesabaran ketelitian dan fokus yang tinggi.

JULIA bersama beg kait yang dihasilkan.
JULIA bersama beg kait yang dihasilkan.

"Sedikit kesilapan boleh menyebabkan sulaman terpaksa dibuka semula dan prosesnya terpaksa dibuat dari mula.

"Biasanya apabila 'mood' tidak berapa baik, saya ambil masa bertenang dahulu sebelum kembali mengait untuk mengelakkan kesilapan," katanya.

Tambahnya, harga beg dijual pada RM250 sehingga RM300 bergantung reka bentuk dihasilkan.

"Saya akui ada yang mempertikaikan harga beg kerana dilihat terlalu mahal. Harga produk seni kraf itu bukan hanya dinilai pada bahan yang digunakan.

"Biasanya mereka tidak faham untuk menghasilkan produk seni sulam ini menuntut masa dan kreativiti pengait," katanya.

BAHAN dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan beg kait.
BAHAN dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan beg kait.

Julia berkata, untuk menceburi dalam bidang ini perlu mempunyai minat mendalam selain perlu menguasai asas mengait yang dipanggil 'tali air'.

"Dengan minat boleh mendorong seseorang itu belajar teknik mengait. Selain itu, anda perlu dipraktikkan apa yang dipelajari untuk menguasai kemahiran itu.

"Melakukan kesilapan ketika mengait adalah perkara biasa. Apa yang penting, kita dapat pelajari sesuatu daripada kesilapan itu menjadi lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 6:30 AM