ROSE Akurut lari selepas bertahun jadi mangsa keganasan suami.
ROSE Akurut lari selepas bertahun jadi mangsa keganasan suami.
JANET Akiding akui jadi mangsa ‘hantaran perkahwinan’.
JANET Akiding akui jadi mangsa ‘hantaran perkahwinan’.
LEMBU dan kambing adalah hantaran mahal yang ‘merantai’ pengantin perempuan.
LEMBU dan kambing adalah hantaran mahal yang ‘merantai’ pengantin perempuan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Apabila Rose Akurut dipinang lelaki yang tinggal jauh dari kampungnya, ayah dan ibunya amat teruja dan gembira.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tiada kaitan dengan kehadiran ahli keluarga baru sebaliknya disebabkan mereka akan menerima hantaran yang diidam-idamkan kebanyakan petani di Bukedea, Uganda.

Hantaran yang diminta ialah lembu, kambing dan wang tunai. Namun kegembiraan yang diharapkan berpanjangan sepanjang hayat itu rupanya menjadi permulaan kepada perhubungan yang keruh dan laluan derita untuk Rose.

"Saya sangat gembira. Sekarang saya juga dapat manfaatnya sebab kami akan memiliki lembu," kata ibu Rose, Anna Amiti, 50, merujuk kepada hantaran perkahwinan anaknya yang boleh dianggap sangat mahal bagi penduduk petani di situ.

"Apabila lelaki itu masuk meminang, kami mahu dia tunjukkan kekuatannya dengan harapan dia dapat menjaga anak kami sebaik-baiknya," sampuk ayahnya, John Okodel, 66.

John masih ingat ketika berkahwin dengan Anna dulu, dia memberikan keluarga isterinya sembilan lembu. Hantaran yang cukup lumayan bagi penduduk di Bukedea, wilayah timur Uganda yang terletak 240 kilometer dari ibu kota.

Jadi untuk hantaran anak kesayangan, mereka meminta enam lembu, empat kambing dan 400,000 duit siling Uganda atau bersamaan RM480.

Selepas tawar-menawar, akhirnya mereka menerima empat lembu, empat kambing dan 200,000 siling Uganda (RM240). Harga seekor anak lembu boleh melebihi RM1,000-satu jumlah yang sama dengan beberapa bulan pendapatan bagi kebanyakan penduduk Uganda.

Di Uganda dan kebanyakan negara Afrika lain, sudah menjadi adat untuk mempelai lelaki atau keluarganya memberi sejumlah wang atau harta kepada ibu bapa pengantin perempuan. Ia dianggap sebagai adat 'penghargaan' yang diamalkan sejak dulu.

Sesetengah pihak turut memberikan arak pisang, pakaian tradisional, daging dan sayur-sayuran, malah minyak tanah kepada keluarga pengantin perempuan.

Tetapi, sejak kebelakangan ini, amalan menetapkan hantaran ini mengubah wajah perkahwinan kepada satu perniagaan, apabila ada ibu bapa memaksa anak dara mereka yang masih remaja, semuda 14 tahun untuk berkahwin semata-mata mahu mendapat habuan daripada keluarga bakal menantu.

Ini membuatkan wanita terperangkap dalam ikatan perkahwinan yang penuh dengan penderitaan. Bagi lelaki pula, mereka akan dihimpit dalam masalah kewangan yang semakin besar, menurut kumpulan pejuang hak wanita tempatan, Mifumi.

Mifumi baru-baru ini mengusulkan kepada mahkamah supaya amalan itu diwartakan sebagai satu pilihan bukan kemestian.

Mengapa? Enam bulan selepas berkahwin, suami Rose mula memukulnya tanpa alasan kukuh.

Lebih menyedihkan, perlakuan ganas itu berlaku berulang kali mengakibatkan darah meleleh keluar dari telinga wanita itu dan menyebabkan kecacatan kekal. Tidak cukup dengan itu, suaminya menjerit dan mengherdik Rose dengan panggilan 'lembu'.

"Dulu saya fikir saya perlu bersabar dan bertahan menghadapi semua penderaan ini kerana dia sudah memberi hantaran kepada ibu dan bapa. Tetapi, apabila tindakannya semakin ganas dan keterlaluan, saya tidak boleh bersabar lagi. Kesabaran saya sudah habis," jelas Rose memulakan ceritanya.

Tidak tahan didera suami, Rose, 26, melarikan diri dan balik ke rumah ibu bapanya bersama lima anaknya (dua lelaki dan tiga perempuan).

Kisah yang berlaku pada Rose Akurut ini bukan cerita baru dalam masyarakat Uganda. Berdasarkan tinjauan yang dikelolakan Mifumi, sekurang-kurangnya 84 peratus penduduk Uganda percaya bahawa keganasan domestik (rumah tangga) ada kaitan rapat dengan jumlah hantaran yang dibayar kepada keluarga perempuan.

"Dalam dua tahun lalu, di Bukedea saja, kumpulan kebajikan itu melihat 10 kes keganasan domestik dengan lelaki menganggap isteri mereka sebagai 'harta' dan merantai isteri dalam perkahwinan yang penuh penderaan.

"Walaupun ia bukan perkara asing, tetapi ramai wanita yang takut untuk tampil bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa. Kalau mereka mengadu pun, mungkin tiada tindakan diambil ke atas lelaki pendera.

"Sedihnya orang sekarang mengkomersialkan perkahwinan, menafikan hak anak-anak untuk bersekolah dan mengatur perkahwinan anak dara seawal mungkin supaya mereka boleh mendapat sesuatu daripada perhubungan itu.

"Jadi, tidak hairan jika wanita dianggap sebagai harta peribadi. Semua faktor ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan kes penderaan dan keganasan domestik," kata pengurus program Mifumi, Dina Atim.

Untuk mengubah sikap masyarakat bukan satu perkara mudah. Namun sudah ada tanda positif mata masyarakat kini mula terbuka dan memberi perhatian kepada kes penderaan ke atas wanita.

Pada Jun lalu, daerah Butaleja di timur Uganda meluluskan rang undang-undangnya yang mengatakan tindakan meminta bayaran atau bayaran balik kepada wang hantaran atau menafikan hak wanita untuk dikebumikan jika keluarga tidak membayar balik hantaran yang diminta adalah satu jenayah. Pihak berkuasa di daerah Tororo pula sudah memansuhkan undang-undang 1964 yang membenarkan bayaran hantaran.

Pada masa sama, Mifumi turut memperjuangkan dan menggesa supaya mahkamah mengambil langkah lebih dramatik iaitu memastikan amalan memberi hantaran ini dijadikan sebagai satu perkara sukarela di seluruh Uganda.

Pada petisyen Perlembagaan Mahmakah 2007 yang dihantar Mifumi dan 12 individu perseorangan mempersoalkan hantaran yang membuatkan wanita dilihat sebagai barang untuk dijual dan layanan buruk yang diterima wanita.

Pada 2010, mahkamah menerima permintaan ini dan memutuskan bahawa hantaran memang ada peranannya dalam sesetengah kes penderaan domestik dan wanita dilayan seperti kelas bawahan dengan perkara ini dilarangkan atas sebarang alasan pun.

Namun pihak yang menandatangi petisyen kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Agung dan menegaskan jika keputusan tidak seperti yang diharapkan, mereka akan menggunakan kaedah perundangan lain. Sehingga kini mahkamah belum menimbangkan usul berkenaan.

Ketika ini, Rose dan lima anaknya menumpang di rumah orang tuanya di kampung. Dia berasa amat bersalah kerana menjadi beban kepada ibu dan bapa yang sudah tua.

"Saya jadi beban berganda," katanya sambil memberitahu bahawa ibu dan bapanya terpaksa membayar balik hantaran mengikut kemampuan mereka selain perlu menanggung dia sekeluarga.

Bapanya pula berasa sangat bersalah dan sedih dengan penderitaan Rose selama ini. Bagaimanapun, ibunya ada pendapat yang berbeza dan berasakan ibu bapa pengantin berhak menerima hantaran. Ia dianggap sebagai bayaran memberi pendidikan kepada anak-anak.

Dina tahu perjuangan untuk melindungi hak wanita akan mengambil masa yang panjang kerana ia sudah menjadi budaya masyarakat, tetapi mereka perlu bekerja keras supaya keganasan domestik tidak berterusan.

"Saya harap satu hari nanti usaha ini membuahkan hasil," katanya.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 5:06 AM