TENTERA India memeriksa tempat kejadian. Foto Reuters
TENTERA India memeriksa tempat kejadian. Foto Reuters
Reuters

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya 44 anggota separa tentera maut apabila bas dinaiki mereka dirempuh pengebom berani mati di Kashmir dalam serangan terburuk sejak tiga dekad lalu di wilayah itu.

Kumpulan militan Pakistan Jaish-e-Mohammad (JeM) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Kerajaan India menuduh Pakistan membiarkan kumpulan militan beroperasi di negaranya, namun Islamabad menafikan sebarang pembabitan.

Letupan dalam serangan menyasarkan konvoi Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF) itu didengar beberapa kilometer dari situ, kata saksi. Wartawan Mohammad Yunis yang tiba di situ beberapa minit selepas kejadian berkata, dia melihat sisa mayat berlumuran darah yang bertaburan sepanjang 100 meter di lebuh raya itu, iaitu laluan utama antara Jammu dan Kashmir.

Gambar disiarkan di televisyen menunjukkan sebuah kereta yang hancur dan puing bertaburan. Pegawai polis kanan berkata, angka kematian direkodkan 44 orang.

Selain itu, video tersebar di media sosial semalam didakwa menunjukkan penyerang berkenaan, seorang pemuda memegang pistol dan mengancam lebih banyak serangan. Bagaimanapun, kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Serangan besar-besaran terakhir di Kashmir berlaku di kem tentera India pada 2016 yang membunuh 20 askar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 10:32 AM