ORANG ramai mengusung keranda Mudasir ketika pengebumiannya. - Reuters
ORANG ramai mengusung keranda Mudasir ketika pengebumiannya. - Reuters
AFP

SRINAGAR: Polis India mendakwa seorang dalang serangan bunuh diri yang membunuh 44 anggota keselamatannya di Kashmir, bulan lalu, ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan kerajaan.

Mudasir Ahmed Khan yang ditembak mati semalam, didakwa pihak berkuasa sebagai salah seorang komander kanan kumpulan bersenjata Jaish-e-Mohammad (JeM), yang melaksanakan serangan berdarah pada 14 Februari lalu itu.

Polis Kashmir berkata, siasatan membuktikan ‘Mudasir antara dalang’ serangan terhadap pasukan keselamatan India itu. Dia dan seorang lagi lelaki Pakistan ditembak mati di Tral, sebuah pekan di Pulwama.

Menurut polis, dalang utama serangan terhadap konvoi terbabit dibunuh bersama dua anggota JeM dalam pertempuran pada 18 Februari lalu di Kashmir.

Serangan bulan lalu terhadap konvoi separa tentera India di dalam sempadannya di Kashmir adalah yang terburuk sejak berdekad lalu, dan mencetuskan serangan udara balas terhadap apa didakwa New Delhi sebagai kem latihan JeM di kawasan Pakistan.

Pakistan yang menafikan menyokong JeM bertindak balas dengan menembak jatuh pesawat India dan menahan juruterbangnya sebelum memulangkannya ke negaranya, seterusnya mengelak perang antara dua negara bersenjata nuklear itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:59 PM