Manila: Pemberontak komunis membunuh tiga askar Filipina dan mencederakan 13 yang lain dalam satu serangan hendap di wilayah utara Filipina lewat kelmarin.

Komander tentera Filipina, Jeneral Paul Atal berkata, pemberontak menggunakan periuk api dalam serangan terhadap 30 askar yang menaiki tiga trak di Pinukpuk, wilayah Kalinga.

“Pemberontak memasang periuk api untuk menghentikan trak sebelum melepaskan tembakan ke arah anggota tentera.

“Anggota tentera berkenaan membalas serangan menyebabkan beberapa pemberontak cedera dan berundur ke dalam hutan,” katanya.

Serangan hendap taktik biasa digunakan kumpulan pemberontak komunis yang berlanjutan selama 46 tahun di wilayah berkenaan.

Atal menyifatkan serangan menggunakan periuk api itu sebagai satu tindakan pengecut.

Pada minggu lalu pemberontak berkenaan menyerang 12 pusat pemeriksaan tentera di wilayah itu.

Serangan itu menyebabkan seorang pemberontak maut manakala dua anggota polis dan enam penduduk kampung cedera.

Komander tentera Filipina yang baru, Jeneral Eduardo Ano berjanji mengurangkan kekuatan pemberontak berkenaan daripada 4,200 kepada 1,000 anggota menjelang tahun depan.

Pada kemuncak pemberontakan pada 1980-an, kumpulan komunis itu mempunyai 25,000 anggota. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 7:44 AM