MAMANUKKA tsunami.
MAMANUKKA tsunami.
NASI lemak.
NASI lemak.
FAZRI (kiri) bersama Ziha (tengah) dan Azira bersama menu kegemaran di Restoran Mamanukka.
FAZRI (kiri) bersama Ziha (tengah) dan Azira bersama menu kegemaran di Restoran Mamanukka.
Hidayatul Akmal Ahmad


Puas hati! Itu yang boleh dikatakan apabila anda berkunjung ke restoran Mamanukka di Denai Alam, Shah Alam. Restoran terkenal dengan ciri ‘tidak kedekut’ itu sering dikunjungi pelanggan yang mahukan menu Barat yang murah tetapi berbaloi.

Pemiliknya, dua beradik Fazril Azar dan Azira Abdul Moa’it berkata, restoran Mamanukka baru dibuka pertengahan tahun ini selepas Aidilfitri.

Walaupun masih baru, restoran itu mendapat sambutan positif daripada pelanggan terutama ketika waktu makan tengah hari dan malam.

“Kami menyediakan hidangan ‘lima bintang’ kepada pelanggan dengan harga jauh lebih murah dan hanya menggunakan bahan segar dari pembekal terpilih serta daging lembu yang diimport khas dari Australia supaya pelanggan benar-benar menikmati hidangan kami.

“Harga yang ditawar pula bermula RM6 hingga RM35 sahaja di mana pelanggan dapat menikmati menu Barat dengan saiz yang besar dan banyak.

“Mengambil kira keperluan pelanggan yang mahukan nasi ketika makan tengah hari, kami juga menyediakan dua menu kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi lemak dan nasi goreng di mana sambal yang dihasilkan adalah warisan daripada nenek moyang kami,” katanya ketika ditemui di restoran itu baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Fazril berkata, antara menu sering mendapat permintaan tinggi adalah spageti carbonara, mamanukka tsunami, Australian grill lamb, grill striploin, chilli cheese fries dan nasi lemak.

“Selain menu yang enak, restoran kami juga selesa dan luas yang mampu memuatkan kira-kira 46 pelanggan dalam satu masa selain dekorasi yang unik dan eksklusif.

“Kami juga menerima tempahan katering untuk majlis mini di bawah 50 orang. Tidak ketinggalan, restoran Mamanukka juga boleh dijadikan tempat untuk mesyuarat dan majlis korporat yang perlu melakukan tempahan seminggu sebelum majlis,” katanya.

Ziha gemari spageti carbonara

Bagi peserta Akademi Fantasia (AF) 2014, Ziha Salleh, dia lebih menggemari menu Barat seperti spageti carbonara yang disifatkan lebih ringkas dan cepat.

Disebabkan itu dia ‘peka’ jika spageti carbonara yang dihidangkan tidak menepati citarasanya seperti bahan yang digunakan berlebihan mahupun berkurangan.

“Sebenarnya Ziha mempunyai hobi suka mencuba makanan baru. Beritahu saja di mana ada restoran yang baru dibuka Ziha mesti akan ke sana mencuba menu kegemaran.

“Jujur Ziha katakan, spageti carbonara di sini sedap dan tidak muak seperti di sesetengah restoran makanan Barat lain apatah lagi saiz hidangan yang boleh dimakan untuk dua orang.

“Begitu juga dengan menu yang lain yang didatangkan dengan saiz besar dan berbaloi terutama mereka yang sudah berkeluarga ditambah dekorasi restoran yang luas dan eksklusif,” katanya yang memegang watak Ara dalam drama Dia Semanis Honey lakonan bersama Alif dan Siti Nordiana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:02 AM