STIK Red Indian.
STIK Red Indian.
GRILL Chicken Mushroom sauce.
GRILL Chicken Mushroom sauce.
SARA bersama Azryn di Ryndu Hot&Grill.
SARA bersama Azryn di Ryndu Hot&Grill.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Hidangan lazat dengan harga berpatutan. Itu slogan yang dipraktikkan restoran Ryndu Hot&Grill yang menjadikan masakan Barat hidangan utamanya.

Pemiliknya, Azryn Kasah, 38, berkata, restoran yang baru tiga bulan dibuka itu menyediakan lebih 70 hidangan seperti chicken chop, lamb chop, burger, sandwic, spageti Bolognese serta sizzling chicken.

Bersandarkan pengalaman 20 tahun suaminya, Lan Hawari Ali, 45, dalam bidang masakan Barat meyakinkan Azryn terhadap keupayaan suaminya.

“Alhamdulillah, meskipun baru dibuka, sambutan terhadap Ryndu Hot&Grill sangat memberangsangkan. Walaupun nama restoran seperti kebaratan, kami tetap menyediakan menu tempatan seperti nasi goreng dan kuetiau daging.

“Harga ditawarkan pula berpatutan atau setanding dengan hidangan, bahan segar dan rempah yang digunakan bagi memberikan rasa terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di restorannya, baru-baru ini.

Menurut Azryn, dia tetap meletakkan harga berpatutan untuk pelanggan walaupun hidangan Barat memerlukan rempah yang banyak dan mahal.

“Setakat ini, respons yang diterima sangat positif daripada pelanggan malah kami sudah ada pelanggan tetap. Pelanggan bukan hanya menikmati menu lazat, malah setanding dengan restoran antarabangsa di samping saiz yang mengenyangkan.

“Hiasan makanan juga sangat ‘tip top’ bagi membuka selera pengunjung. Apabila pelanggan puas dan seronok, ia adalah kepuasan bagi kami,” katanya.

Ryndu Hot&Grill juga menyediakan set makan tengah hari bermula jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang manakala makan malam pula bermula jam 5 petang hingga 1 pagi.

Sara suka daging tak hamis

Penyanyi, Sara Mentor, 20, lebih gemarkan masakan kampung berbanding Barat kerana lebih rasa pedas.

Pun begitu, tidak bermakna dia menolak menu Barat. Mengakui dirinya adalah ‘pemakan’ Sara tidak cerewet.

Antara makanan Barat kegemarannya ialah ‘lamb chop’.

“Menu di Ryndu Hot&Grill berbeza dengan restoran makanan Barat lain. Saiz hidangan sangat besar dan mengenyangkan malah boleh makan hingga dua orang.

“Daging juga tidak berbau hamis dan lembut. Bagi pencinta makanan Barat, anda patut mencuba makan di sini apatah lagi harganya berpatutan,” katanya yang kini sibuk melancarkan single pertama berjudul Tak Mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:01 AM