ANTARA pilihan hidangan di Chop N Steak.
ANTARA pilihan hidangan di Chop N Steak.
SIZZLING Prawn antara menu menyerlahkan kemanisan isi udang.
SIZZLING Prawn antara menu menyerlahkan kemanisan isi udang.
HARRIS Alif dan Muzafar bersama hidangan di Chop N Steak.
HARRIS Alif dan Muzafar bersama hidangan di Chop N Steak.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Sangat puas hati. Itu perasaan yang jelas mengenai saiz termasuk rasa setiap hidangan di Restoran Chop N Steak yang menyajikan menu Barat di Seri Kembangan, Selangor.

Bimbang poket tipis kerana harga untuk hidangan Barat mampu mencecah ratusan mahupun ribuan jika datang dalam kumpulan besar, restoran itu yang mempunyai dua cawangan lagi iaitu di Kampung Baru dan Selayang, menawarkan pilihan harga sangat berpatutan.

Selain itu saiz hidangan untuk individu bagi yang ‘fusion Asian Western’ memuaskan untuk mereka ‘bernafsu besar’ terhadap makanan. Bayangkan untuk stik T-bone saja, hidangan sampingan melimpahi segenap pinggan daging lembut sos lada hitam itu menerusi kacang panggang, coleslaw, kentang putar serta salad.

Penggemar hidangan laut juga tentu rasa selera mereka dipenuhi apabila masakan udang seperti Prawn Sizzling dan Tiger Prawn Grill menampilkan saiz sangat besar bersama rasa menyerlahkan kemanisan isi makanan laut itu.

Pemilik restoran, Mohd Muzafar Abd Halim berkata, perniagaannya diasaskan bersama dua rakan kongsi yang mempunyai hubungan saudara, Kamal Pasha Ahmad dan Shahrizal Ahmad, sangat menitikberatkan kualiti serta saiz hidangan dalam memastikan selera pelanggan dipenuhi.

Dua rakan kongsi Kamal Pasha dan Shahrizal mempunyai pengalaman luas dalam bidang pe­nyediaan makanan. Mereka mengendalikan katering dan mula membuka restoran The Ship Chop N Steak di Kampung Baru untuk memenuhi penggemar hidangan Barat.

“Resipi adalah olahan asli mereka dalam memastikan rasa sama untuk ketiga-tiga cawangan. Selain bahan segar digunakan, kami mengutamakan saiz hidangan dalam kuantiti saya fikir jauh lebih besar daripada pilihan restoran Barat lain tanpa mengenakan harga tinggi,” katanya.

Jelas Mohd Muzafar, mereka mensasarkan keluarga serta pelanggan peringkat sederhana mahupun korporat, sangat proaktif dalam mempertingkatkan mutu hidangan apabila memberi perhatian terhadap menu serta mempelbagaikan masakan saban tahun.

“Kami tahu restoran hidangan Barat adalah mencabar dalam mengekalkan momentum pelanggan untuk kunjungan setiap waktu. Namun bagi kami, dari peringkat dapur hinggalah servis kami ber­usaha mencari kepelbagaian supaya wujud pelbagai menu mengelak pelanggan muak.

“Kalau dilihat pada menu kami ketika ini, pilihan di Chop N Steak sungguh banyak, kami akan menyemak semula menu sekurang-kurangnya dua tahun sekali supaya sajian diketengahkan segar serta menepati permintaan pelanggan,” katanya sambil menerangkan ‘Southern Fried Chicken’ menu signature dikekalkan kerana mendapat sambutan sangat menggalakkan sejak restoran dibuka.

Cukup menarik mengenai restoran ini, suasana ‘comfy’ nyata memenuhi ruang dekorasi apabila konsep diketengahkan restoran itu seperti dalam restoran ala ‘cowboy’ di Barat. Penggunaan lebih 80 peratus kayu segenap ruang memberikan pengalaman seperti berada di lokasi itu.

Keseluruhannya ia sesuai untuk pengunjung datang sama ada bersama keluarga atau kumpulan rakan untuk bersantai sambil menikmati makanan enak.

Harris sempat cuba udang panggang

Artis remaja, Harris Alif selaku peminat hidangan makanan Barat teruja dengan setiap hidangan di Chop N Steak. Juara Idola Kecil musim ketiga itu mengakui apabila kelapangan, dia serta keluarganya akan mencari restoran popular menghidangkan menu berkenaan.

Kata Harris apabila dijemput mencuba hidangan terbabit, sukar dia menolak dan gembira dengan setiap menu disajikan.

Katanya, hidangan kegemarannya ialah nasi goreng Chicken Chop. Bukan saja saiz hidangan besar, kuah lada hitam disediakan enak sesuai dengan rasa nasi goreng dihidangkan.

“Bagi saya sos lada hitam disajikan dalam menu ini tidak terlalu kuat membuatkan rasanya yang ‘mesra’ pada lidah. Selain itu saiz hidangan besar boleh dikongsi bersama keluarga.

“Selain itu saya sempat mencuba udang panggang. Memang rasa udangnya sungguh manis serta sesuai dimakan bersama kentang serta kacang panjang. Rasanya hidangan ini unik dan peminat hidangan laut patut mencubanya,” katanya.

Tambah Harris, suasana dalam restoran sesuai untuk mereka sukakan suasana makan malam santai.

“Ada pembahagian ruang sesuai untuk mereka mahukan privasi. Selain itu meja dan ruang makan selesa membuatkan ia sesuai untuk kunjungan keluarga saya,” katanya.

Dia yang baru saja melancarkan pakaian jenama sendiri Harris Alif by Chemboja berkata selain seni, fesyen adalah minatnya.

“Selain komitmen dalam rancangan Lari TV9, ada juga jemputan menyanyi pada majlis berbuka dan terbuka raya.

“Namun Harris dalam kempen promosi rangkaian baju Harris, Chemboja mengetengahkan fesyen kasual tetapi ‘smart’ menggunakan fabrik kapas yang selesa. Produk baju ini mendapat sambutan di Singapura dan dipasarkan di Big Box Mall Jurong, Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:01 AM