BEBERAPA menu yang terdapat di Restoran Mutiara Blend.
BEBERAPA menu yang terdapat di Restoran Mutiara Blend.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bagi yang ingin menjamu selera pasti rambang mata sekiranya mendapati sesebuah restoran yang dikunjungi itu menawarkan pelbagai jenis makanan hingga sukar membuat pilihan mengikut selera dan cita rasa.

Hidangan merangkumi masakan Melayu, ala Thai, Barat dan pelbagai lagi disediakan di Restoran Mutiara Blend di Medan Perniagaan Pauh Jaya, Jalan Baru, Bukit Mertajam yang pasti menjanjikan kepuasan dalam setiap hidangan disajikan.

Pengusahanya, Normala Said, 44, berkata, bagi pelanggan rambang mata dan sukar memilih makanan bersesuaian dengan cita rasa mereka, dua menu Mutiara ‘Signature’ Dish iaitu Creepers Spread dan VIP Tom Yam adalah pilihan tepat untuk mereka yang pertama kali berkunjung.

Normala berkata, menu Creepers Spread dan VIP Tom Yam yang masing-masing berharga RM150 itu kebanyakannya mengandungi makanan laut, cuma ia dihidangkan dalam keadaan basah dan kering yang boleh dinikmati untuk dua hingga empat orang.

“Kebiasaannya bagi menu hidangan ‘shell out’, kuah sos atau sambal akan digaul serta dicampur bersama ketam, lala, kerang, udang, kupang dan sebagainya.

“Namun, konsep menu Creepers Spread agak berlainan apabila sos lada hitam dan sos pedas (Harlock) masing-masing daripada ramuan tersendiri tidak dicampur atau digaul bersama udang kara, ketam, udang, sotong, ikan, kepah bakar serta jagung manis, sebaliknya pelanggan boleh mencicah sendiri dan merasai kenikmatan setiap makanan disediakan,” katanya yang mengusahakan restoran berkenaan sejak November tahun lalu.

Normala berkata, sos Harlock mempunyai rasanya tersendiri iaitu masam-masam manis yang cukup melazatkan dan pelanggan boleh membuat pilihan sama ada meratah lauk disediakan itu begitu sahaja atau menikmatinya bersama nasi.

Dia berkata, VIP Tom Yam pula memberikan kepuasan tersendiri apabila makanan laut seperti udang kara, udang, ketam, sotong, ikan, kupang dan sayuran dicampur bersama kuah tom yam dalam sebuah periuk dinyalakan api panas dan sesuai dinikmati bersama nasi.

“Jangan ketinggalan untuk merasai menu special Blend seperti butter rice chicken dan nasi goreng mix seafood grill yang menggabungkan masakan Barat bersama masakan tempatan selain dua menu hebat iaitu flying pan lobster thermidor dangrill lobster thermidor.

“Kami kerap mengadakan promosi seperti musim cuti persekolahan dan sempena Rejab, sebanyak lima hingga 10 peratus diskaun diberikan bagi menu makanan terpilih,” katanya.

Antara menu terpilih mendapat diskaun sebanyak lima peratus adalah seperti flying pan lobster thermidor, grill lobster thermidor, mix grill couple, mee kari lobster (slipper), nasi goreng mix seafood grill dan nasi goreng baby lobster.

Manakala bagi menu beef stick, lamb shank, VIP Tom Yam, creepers spread, mix grill family, lobster + beef, lobster + salmon, lobster +lamb dan lobster chicken grill mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.

Katanya, hidangan utama lain yang tidak kurang hebatnya iaitu beef steak, lamb shank, lamb steak, lamb chop, chicken grill dan chicken chop selain manakala bagi hidangan pasta dan piza, pelanggan boleh memilih spageti dan piza dalam tiga rasa seperti daging, ayam dan makanan laut.

Menurutnya, tidak ketinggalan set masakan Melayu merangkumi nasi putih, ulam, sambal, bawal goreng, bawal gulai dan asam pedas kepala ikan.

“Pilihan ayam kampung Mutiara pasti memikat cita rasa pelanggan apabila dimasak gulai, kurma, goreng selain rendang daging dimasak kurma atau masak merah serta makanan eksotik rendang rusa.

“Kemudahan parkir kereta, surau dan perkhidmatan WiFi percuma turut disediakan.

Restoran kami dibuka setiap hari bermula 12.30 tengah hari hingga 11 malam manakala pada Jumaat dibuka pada 3 petang hingga 11 malam yang menawarkan ruangan untuk majlis makan, sambutan hari jadi, seminar dan lain-lain lagi termasuk meja ‘candle light dinner’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 3:09 AM