PENGERUSI  Wagna Holdings, Datuk Wan Ab Ghani Wan Yusof (kiri), Serina dan  NoorulAmeen di hadapan  cawangan baru di Subang Jaya.
PENGERUSI Wagna Holdings, Datuk Wan Ab Ghani Wan Yusof (kiri), Serina dan NoorulAmeen di hadapan cawangan baru di Subang Jaya.
myMetro

Subang Jaya: Wagna Holdings Sdn Bhd (Wagna Holdings), syarikat pemilik Restoran Nasi Kandar Penang Kapitan berhasrat membuka sebuah cawangan restoran baru pada tahun depan selepas kejayaan membuka cawangan kelimanya, baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, NoorulAmeen Naina Mohamed berkata, perancangan itu masih diperingkat awal namun lokasi cawangan itu dijangka masih di sekitar kawasan Lembah Klang.

“Kami lihat pembukaan cawangan di Lembah Klang masih sesuai untuk syarikat meskipun berhadapan dengan persaingan daripada pelbagai restoran makanan nasi kandar kerana setiap restoran memiliki kelebihan tersendiri,” katanya pada pembukaan restoran terbaru Nasi Kandar Penang Kapitan di sini.

Wagna Holdings membuka cawangan kelima di Persiaran Subang Indah selepas cawangan di Ara Damansara, Glenmarie, Ampang Point dan Star Avenue, Subang.

Beliau berkata, syarikat yakin cawangan terbaru itu akan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat kerana ia terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Taman Ekstrem Indoor Enerz USJ dan dikelilingi kawasan perkilangan serta kediaman.

Menurutnya, syarikat menjangkakan mampu menarik kira-kira 2,000 pengunjung pada setiap hari dan optimis ia dapat dicapai melalui kedudukan restoran yang strategik dan sajian makanan yang ditawarkan.

“Keistimewaan restoran kami ini terletak pada menu nasi kandar asli warisan keluarga, makanan Thai dan makanan Barat serta menu istimewa iaitu char kuetiau daripada Serina Redzuawan, anak kepada selebriti chef terkenal Chef Wan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wagna Holdings berhasrat menerokai pasaran Australia dengan membuka cawangan restorannya, namun ia masih di peringkat awal.

“Kami mendapati pasaran Australia menawarkan potensi baik kepada syarikat memandangkan ramai pelajar Malaysia berada di sana dan kami menjangkakan hasrat ini mampu dilaksanakan dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 7:11 AM