GERAI nasi kandar non halal tidak beroperasi setiap Isnin. FOTO Sudirman Mohd Tahir
GERAI nasi kandar non halal tidak beroperasi setiap Isnin. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


Petaling Jaya: Hidangan nasi kandar babi yang tular di media sosial didakwa dijual di sebuah restoran 'non halal' di Damansara Jaya, di sini.

Difahamkan perniagaan berbentuk gerai yang menjual juadah itu beroperasi secara sewaan sejak sebulan lalu di restoran berkenaan.

Tinjauan Harian Metro mendapati gerai itu ditutup dan dimaklumkan perniagaan terbabit tidak beroperasi setiap Isnin.

Pengarah dan Chef Eksekutif restoran Randall Chen ketika dihubungi berkata, perniagaan itu bukan milik syarikat mereka.

"Perniagaan itu baru lagi dalam sebulan lebih. Kami beri sewa saja dan bukan kami punya. Saya pun baru tengok video yang tular. Saya tak tahu ada orang datang buat promosi dan muat naik," katanya kepada Harian Metro.

Berdasarkan tinjauan, bukan saja nasi kandar tapi menu nasi lemak juga dijual dengan pilihan lauk babi yang dijual pada harga RM16.

Malah, pada gerai itu turut diletakkan 'Non Halal Nasi Lemak dan Nasir Kandar'.

Terdahulu tular video dimuat naik seorang pempengaruh wanita yang mempromosikan perniagaan itu di TikTok yang berkongsi juadah nasi kandar dengan lauk babi.

Menerusi video itu turut diletakkan keterangan

'The only stall in Malaysia to sell Indian style pork nasi kandar and nasi lemak'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 3:02 PM