Burhan menunjukkan dua resit berbeza (kiri) yang dikatakan tersilap tekan oleh pekerjanya dan yang (kanan) harga sebenar bendi ketika KPDNKK membuat pemeriksaan di restoran itu di Bukit Jambul, semalam.
Burhan menunjukkan dua resit berbeza (kiri) yang dikatakan tersilap tekan oleh pekerjanya dan yang (kanan) harga sebenar bendi ketika KPDNKK membuat pemeriksaan di restoran itu di Bukit Jambul, semalam.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar Sdn Bhd, pemilik rangkaian Restoran Kayu Nasi Kandar (RKNK) Burhan Mohamed menafikan berlaku kenaikan harga di RKNK Bukit Jambul di sini, seperti didakwa, sebaliknya mengakui ia akibat kesilapan juruwang menekan harga makanan dikenakan kepada pelanggan.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya memohon maaf berhubung insiden yang berlaku di cawangan RKNK Bukit Jambul itu kerana juruwang tersalah memasukkan harga berkenaan sedangkan harga sebenar bagi satu bendi hanya 40 sen dan pelanggan hanya perlu membayar RM2, bukannya RM20.

“Memang tidak munasabah kami mengenakan caj berlebihan seperti itu dan saya memohon pelanggan yang dikenakan bayaran sehingga RM20 bagi lima bendi itu kembali ke restoran ini supaya wangnya dapat dipulangkan semula.

“Harga yang dikenakan di restoran ini munasabah dan segala peraturan ditetapkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipatuhi dan segala harga makanan dikenakan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kami tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga tanpa sebab dan jika ada kesilapan kami memohon maaf serta akan memastikan ia tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 8:03 AM