KARI Ayam Kapitan.
KARI Ayam Kapitan.
KARI Ayam Kapitan.
KARI Ayam Kapitan.
SERINA bersama hidangan lauk-pauk kari.
SERINA bersama hidangan lauk-pauk kari.
Zaitie Satibi


Nasi kandar adalah sajian popular utara tanah air yang dimakan bersama pelbagai lauk-pauk yang dimasak kari. Malah, setiap pengusaha nasi kandar juga akan memperkenalkan menu utama yang diadun dengan resipi tersendiri sebagai keunikan hidangan masing-masing.

Begitu juga dengan restoran Nasi Kandar Penang Kapitan yang diusahakan Wagna Holdings Sdn Bhd yang terkenal dengan Kari Ayam Kapitan sebagai menu utama sajian nasi kandar mereka.

Pengarah Urusannya, Noorulameen Naina Mohamed berkata, hidangan istimewa berkenaan adalah resipi turun-temurun daripada keluarga isterinya dan mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan pelanggan.

“Kari Ayam Kapitan dengan kuah yang pekat dan rasanya tidak berapa pedas terkenal di Pulau Pinang dan ia juga adalah masakan orang peranakan yang tersohor.

“Pelanggan tidak perlu risaukan keaslian menu utama yang disajikan di restoran ini kerana tukang masaknya berasal dari negeri berkenaan dan berpengalaman lebih 30 tahun,” katanya ditemui selepas pembukaan cawangan kelima restoran berkenaan di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Wagna Holdings Sdn Bhd, Datuk Wan Ab Ghani Wan Yusuf.

Selain nasi kandar, restoran berkenaan turut menawarkan lebih 100 menu lain terdiri masakan Melayu, Barat dan Thailand. Malah, Noorulameen juga membuka ruang kepada peniaga lain beroperasi di premis terbarunya yang menawarkan masakan seperti makanan laut bakar, char kuetiau dan otak-otak.

“Ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan, di samping pelanggan yang datang berkumpulan boleh mendapatkan menu kegemaran masing-masing di satu tempat,” katanya.

Noorulameen berkata, beliau menawarkan promosi pakej hidangan nasi putih bersama lauk dan sayuran serta minuman kordial pada harga RM6, manakala potongan harga 10 peratus untuk hidangan lain selama tiga bulan sehingga September depan sempena pembukaan premis baru berkenaan.

“Tawaran ini sebagai menghargai pelanggan tetap kami, selain menarik pelanggan baru setempat untuk mendekati restoran Nasi Kandar Penang Kapitan.

“Premis kami yang boleh memuatkan kira-kira 350 pelanggan juga menyediakan kemudahan seperti surau dan dewan makan untuk majlis peribadi,” katanya.

Beliau berkata, cawangan terbaru itu dilengkapi perkhidmatan mengambil pesanan melalui interkom secara pandu lalu bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian tanpa masuk ke restoran disebabkan tidak mahu menunggu lama atau masalah ruang meletak kenderaan.

Kepuasan berganda penggemar kari

Keunikan rasa dan aroma kari dalam masakan ayam kapitan memikat hati pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan, yang menyifatkan hidangan berkenaan memberi kepuasan berganda kepada penggemar makanan berkari.

Menurut Serina, jika berkunjung ke mana-mana restoran mamak, pasti pelanggan mendapatkan makanan berkuah kari untuk dimakan bersama nasi kandar.

“Campuran kuah kari dan menu utama adalah elemen penting dalam menjadikan nasi kandar itu sedap dimakan.

“Lauk-pauk di restoran Nasi Kandar Penang Kapitan menepati selera penggemar nasi kandar. Pengunjung yang menikmati juadah nasi kandar jangan lepaskan peluang untuk merasai kelazatan ayam kapitan yang ada di sini,” katanya.

Serina turut berniaga makanan char kuetiau @serinasimplydelicious di cawangan terbaru restoran Nasi Kandar Penang Kapitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:01 AM