AZIZ  melayan tetamu yang hadir selepas perasmian restorannya.
AZIZ melayan tetamu yang hadir selepas perasmian restorannya.

Batu Kawan: Pemilik rangkaian Restoran Nasi Kandar Dinas, Nasi Kandar Dinas Sdn Bhd merancang membuka satu lagi cawangan tahun ini bagi meluaskan operasi rangkaian restoran itu.

Pengarah Urusannya, Abdul Aziz Shaik Ahmad berkata, pihaknya mengenal pasti cawangan baru restoran itu yang dibuka pertengahan tahun ini di Alor Setar, Kedah.

“Bagi cawangan baru ini, kami memperuntukkan antara RM500,000 dan RM800,000, termasuk kos pengubahsuaian. Saya kini masih menunggu perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Sekiranya tiada halangan, cawangan di Alor Setar ini beroperasi pada pertengahan tahun ini atau selewatnya hujung tahun,” katanya selepas perasmian Restoran Nasi Kandar Dinas di Taman Merpati Indah, Bukit Tambun di sini, kelmarin.

Beliau berkata, setakat ini terdapat empat cawangan Restoran Nasi Kandar Dinas iaitu di Batu Maung dan Sungai Ara di bahagian pulau negeri ini serta Kulim, Kedah dan yang terbaru di Bukit Tambun di sini.

Katanya, selain menu nasi kandar, restoran itu menyediakan khidmat WiFi secara percuma kepada pelanggannya selain menawarkan makanan ala Thai dan barat.

“Kami menyediakan tujuh televisyen di restoran dua tingkat berkenaan bagi memudahkan pelanggan menonton siaran langsung perlawanan bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:22 AM