Swansea, United Kingdom: Bintang baharu Chelsea N’Golo Kante (gambar) cukup hebat malah lebih baik berbanding legenda Stamford Bridge Claude Makelele, kata pemain tengah Nemanja Matic.

Tumpuan kini lebih terarah kepada David Luiz menjelang aksi menentang Swansea City malam ini tetapi pertahanan tengah Brazil itu akan menyarung jersi Chelsea buat kali kedua selepas berpindah dari Paris Saint Germain pada hari terakhir jendela perpindahan pemain bulan lalu.

Tetapi Matic mahu persembahan cemerlang Kante tidak dilupakan dan bekas bintang Leicester City itu dianggap sebagai antara faktor yang membolehkan Chelsea mencatat keputusan memberangsangkan setakat ini.

Kante dibandingkan dengan Makelele yang cemerlang di bahagian tengah ketika Chelsea berjaya menang gelaran liga dua musim berturut-turut pada 2005 dan 2006 iaitu ketika dibimbing Jose Mourinho.

Tetapi Matic berkata kepada Sky Sports: “Ramai yang berkata dia adalah Makelele baharu tetapi saya tidak fikir begitu.

“Makelele memang hebat dan kami semua menghormatinya terutamanya saya kerana saya tahu posisi itu sukar untuk dikuasai.

“Tetapi saya percaya N’Golo adalah lebih baik daripadanya. Dia bertahan dengan baik dan setiap kali memegang bola, dia seolah-olah memiliki lebih kualiti.

“Saingan ini memang sukar baginya dan ia akan menjadi bertambah sukar tetapi saya percaya dia sudah sedia untuk menghadapinya. Dia seorang yang penting buat kami terutamanya di posisi itu. Anda perlu memberikan keseimbangan buat pasukan dan dia sedar dengan kepentingan bakatnya untuk tugas berkenaan.”

Kepulangan Luiz tidak begitu menggembirakan pemerhati tetapi penyokong Chelsea tetap gembira dengan kehadiran pemain yang pernah membantu kelab itu melangkah ke Liga Juara-Juara dan Liga Europa sebelum ini.

Kekerapan pemain itu melakukan kesilapan membuatkan timbul persoalan mengenai kemampuannya.

Jurulatih Antonio Conte bagaimanapun enggan memikirkan soalan berkenaan.

“Adalah penting untuk mempunyai seorang pemain dengan personaliti serta kualiti sepertinya,” kata Conte. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:14 AM