CONTE masih berhitung untuk menurunkan Kante.
CONTE masih berhitung untuk menurunkan Kante.
Reuters

LONDON: Pengendali Chelsea, Antonio Conte berharap dapat menurunkan pemain tengah N’Golo Kante untuk pertembungan Liga Juara-Juara menentang Roma awal pagi Rabu ini.

Kante mengalami kecederaan hamstring ketika tugasan antarabangsa bersama Perancis awal bulan ini dan terlepas lima perlawanan terakhir Chelsea, termasuk keputusan seri 3-3 di laman sendiri bertemu Roma 11 hari lalu.

Chelsea kini mendahului Kumpulan C dengan tujuh mata dan berupaya mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir dengan kemenangan di ibu kota Itali itu, tetapi Conte berkata dia tidak akan mengambil risiko jika Kante belum cergas sepenuhnya.

“Dia (Kante) kemungkinan bersedia,” kata Conte.

“Saya tahu kepentingan pemain ini. Saya mahu pastikan dia benar-benar bersedia. Saya harap dapat menurunkannya untuk perlawanan ini, tetapi tidak akan mengambil risiko. Jika dia bersedia, dia akan bermain.”

KANTE (dua dari kiri) masih dalam proses pemulihan.
KANTE (dua dari kiri) masih dalam proses pemulihan.

Keputusan seri dengan Roma di Stamford Bridge hadir selepas dua kekalahan berturut-turut Liga Perdana yang menyaksikan juara bertahan itu ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City.

Kemenangan liga ke atasn Watford dan Bournemouth serta kejayaan Piala Liga ke atas Everton mengembalikan kestabilan Chelsea, yang dianggap Conte mampu melonjakkan semangat pemain.

“Ia kemenangan yang bagus (1-0 di Bournemouth pada Sabtu) untuk keyakinan kami menjelang satu lagi perlawanan sukar menentang Roma dalam Liga Juara-Juara.”

“Kemenangan amat penting untuk meneruskan rentak selepas Watford dan Everton dalam Piala (Liga), dan kini kami melakukan persediaan dengan sebaik mungkin untuk Roma,” katanya.

Alvaro Morata dijangka akan mengisi kesebelasan utama esok, walaupun mengharungi empat perlawanan tanpa gol sejak kembali daripada kecederaan hamstring ketika kekalahan di tangan Manchester City bulan lalu. S

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:00 PM