CONTE (kiri) sukar cari pengganti Kante.
CONTE (kiri) sukar cari pengganti Kante.
Reuters

LONDON: Pengurus Chelsea Antonio Conte mengesahkan bintang tengahnya N’Golo Kante terpaksa disisih hampir sebulan susulan kecederaan otot ketika beraksi bersama Perancis.

Kante terpaksa dikeluarkan ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Perancis menang 1-0 ke atas Bulgaria dan terlepas aksi seterusnya menentang Belarus, Selasa lalu.

Ujian awal menunjukkan pemain berusia 26 tahun itu perlu berehat selama 25 hari tetapi Conte yang membawa Chelsea ke Crystal Palace bagi aksi Liga Perdana Inggeris, malam ini tetap berharap ujian kedua akan memberikannya berita lebih baik.

“Sudah pasti ia adalah masalah otot, hamstring,” kata Conte.

“Ia satu kehilangan besar kepada kami. Kami tahu dengan amat baik kepentingan N’Golo Kante dalam pasukan kami. Kami tidak mempunyai pemain yang memiliki karektor sama.”

“Untuk itu, kami akan melakukan satu lagi imbasan selepas seminggu untuk memahami situasi ini dengan lebih baik dan melihat jika imbasan itu lebih baik daripada sebelum ini.”

Chelsea yang juga juara bertahan ketika ini menghuni tangga keempat liga selepas mengumpul 13 mata daripada tujuh perlawanan.

Selain Palace, mereka dijadual menentang Watford dan Bournemouth dalam aksi liga selain pertembungan Liga Juara-Juara dengan AS Roma selain Piala Liga dengan Everton bulan ini.

Mereka dijadual bertemu Manchester United pada awal bulan depan dan dengan hanya Tiemoue Bakayoko dan Cesc Fabregas boleh dianggap sebagai pakar kawasan tengah, Conte mula berfikir untuk membariskan pemain muda.

“Kami perlu mencari jalan penyelesaian yang berbeza untuk tempoh ini, untuk mengadaptasi pertahanan ke bahagian tengah atau memberi peluang kepada pemain muda seperti (Kyle) Scott atau (Ethan) Ampadu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 1:23 PM