DRINKWATER
DRINKWATER
AFP

London: Juara Liga Perdana, Chelsea menutup jendela perpindahan pemain dengan membawa masuk pemain tengah England, Danny Drinkwater dari Leicester City dan pertahanan kanan Itali, Davide Zappacosta dari Torino.

Sebelum ini, beberapa pemain yang menjadi buruan pengurus Antonio Conte gagal dipikat tetapi beliau tetap berjaya mengukuhkan pasukannya yang akan mengharungi kempen Liga Juara-Juara musim ini.

Drinkwater, 27, menandatangani kontrak lima tahun dengan nilai perjanjian £35 juta (RM193.2 juta) dan perkara itu diumumkan dua jam setengah selepas jendela perpindahan ditutup.

“Saya gembira dapat menjadi pemain Chelsea dan tidak sabar untuk mula bermain,” kata Drinkwater.

“Bukan mudah untuk saya berada di sini tetapi kini saya gembira dan mahu membantu kelab memenangi pelbagai kejuaraan.”

Perpindahan itu akan kembali menemukan Drinkwater dengan N’Golo Kante dan mereka pernah bersama di bahagian tengah padang ketika masing-masing membantu Leicester menjulang Liga Perdana pada 2016.

Zappacosta, 25, pula menandatangani kontrak empat tahun dan Chelsea dipercayai mengeluarkan belanja sekitar £23 juta (RM126.9 juta) untuk mendapatkan pemain itu.

Dia pernah mewakili Itali sebanyak empat kali dan bermain di bawah kendalian Conte ketika bergelar jurulatih kebangsaan.

“Davide ialah pemain antarabangsa yang sangat dikenali Antonio Conte dan kami sudah memerhatikannya sejak sekian lama,” kata pengarah teknikal Chelsea, Michael Emenalo.

“Kami gembira kerana dapat membawanya masuk ke kelab kami dan percaya dia akan menjadi antara anggota terpenting pasukan.”

Chelsea boleh dianggap berpuashati dengan pembelian Drinkwater dan Zappacosta selepas beberapa pemain yang mereka mahukan sebelum ini, gagal dibawa masuk.

Pemain tengah England dan Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain menolak tawaran mereka dan memilih untuk bersama Liverpool manakala penyerang Sepanyol, Fernando Llorente pula berpindah ke Tottenham Hotspur dari Swansea City.

Lebih memeritkan, pemain tengah England, Ross Barkley mengubah pendirian dan memilih untuk kekal di Everton walaupun sudah menjalani ujian kesihatan di Chelsea.

“Kedua-dua kelab sudah bersetuju mengenai perpindahan itu dan saya juga percaya semua terma peribadi turut diterima,” kata pemegang saham terbesar Everton, Farhad Moshiri.

“Selepas ujian kesihatan, kami mendengar khabar dari ejen Ross Barkley iaitu Paul Martin yang mendakwa pemain itu mengubah fikiran dan mahu terus kekal di Everton.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 4:50 AM