Reuters

London: Juara Liga Perdana Chelsea akan cuba mencabar semua empat pertandingan utama musim depan, kata pemain tengah N’Golo Kante selepas dia dipilih pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA).

Chelsea menjuarai Liga Perdana selepas menang 1-0 ke atas West Bromwich Albion, Jumaat lalu dan berpeluang menambah kejuaraan musim ini dengan bertemu Arsenal di final Piala FA, 27 Mei nanti.

Chelsea tidak beraksi di Liga Juara-Juara musim ini dan tersingkir awal di saingan Piala Liga, tetapi Kante percaya pasukannya mampu bermain lebih baik musim depan.

“Musim depan adalah cabaran baru buat kami dan kami akan cuba mempertahankan kejuaraan yang sudah kami miliki, memenangi dua lagi piala (Piala FA dan Piala Liga) serta Liga Juara-Juara,” kata Kante.

“Bagi kelab seperti Chelsea, kami pasti mahu memenangi semuanya. Kami akan cuba untuk mencapai impian itu. Ia cabaran baru buat semua pemain.”

Kante yang memenangi Liga Perdana bersama Leicester City musim lalu, memainkan peranan penting di bawah kendalian pengurus Antonio Conte yang mengamalkan formasi 3-4-3 dan pemain berusia 26 tahun itu pantas memuji kebijaksanaan jurulatih berkenaan.

“Beliau menjelaskan kepada kami mengenai kehendaknya dan apa yang beliau mahukan daripada pasukan dan saya sendiri,” kata Kante. “Sejak saya menyertai Chelsea beliau sering mengingatkan kami mengenai kepentingan untuk bergelar juara.

“Kerja keras, kepentingan setiap perkara, beliau adalah pemenangnya. Beliau seorang yang tidak suka membuang masa dan sentiasa mahu bekerja. Beliau akan mengulangi apa saja latihan selagi tidak berpuas hati dengan usaha kami.”

Chelsea akan melayan kunjungan Sunderland malam esok pada perlawanan terakhir musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 3:18 AM