KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah RM2 juta difailkan bekas calon PKR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Anggota Parlimen Marang itu.

Peguam yang mewakili Abdul Hadi, Asmuni Awi berkata kepada pemberita, mahkamah menolak saman itu kerana Abdul Hadi selaku defendan diberikan perlindungan bersyarat oleh undang-undang dalam memberikan ucapan ataupun kenyataan atas kepentingan umum.

“Mahkamah mendapati kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah.

“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa kata-kata itu tidak merujuk kepada pihak plaintif ... pihak plaintif gagal membuktikan bahawa apa yang disebutkan itu memang sebenarnya merujuk kepada plaintif,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 2:51 PM