Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam menolak dengan kos saman fitnah RM2 juta yang dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati Mohd Shamsul gagal membuktikan bahawa ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramahnya di Kampung Tebakang, Marang pada 22 April 2013 merujuk kepada plaintif meskipun wujud unsur fitnah dalam ucapan berkenaan.

Beliau berkata, atas pertimbangan itu, mahkamah terpaksa menolak tuntutan yang difailkan Mohd Shamsul terhadap Abdul Hadi.

Pada masa sama, Mohd Yazid mengarahkan plaintif membayar semua kos yang terpaksa ditanggung defendan sebanyak RM10,000 sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.

Sementara itu, peguam Abdul Hadi, Asmuni Awi berkata, tuntutan saman RM2 juta itu ditolak memandangkan defendan diberikan perlindungan bersyarat oleh undang-undang kerana memberikan ucapan berkenaan untuk kepentingan umum.

“Apa yang diucapkan oleh defendan pada malam itu, menurut mahkamah, dibuat secara bona fide (berniat jujur) dan dilakukan demi kepentingan umum khususnya kepada mereka yang mendengar ceramahnya malam itu,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah selepas keputusan dibacakan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:51 AM