Oleh Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Keputusan kes saman RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dibacakan di Mahkamah Tinggi di sini, 15 Disember ini.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa hari ini menetapkan tarikh berkenaan untuk membolehkan mahkamah meneliti hujahan akhir oleh peguam kedua-dua pihak iaitu plaintif (Mohd Shamsul) dan defendan (Abdul Hadi).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul berkaitan kes saman fitnah terhadap Ketua Angkatan Muda PKR Dungun itu.

Saman fitnah itu difailkan Mohd Shamsul bagi membersihkan namanya susulan ceramah Abdul Hadi di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang pada Pilihan Raya Umum ke-13, pada 22 April 2013.

Mohd Shamsul mendakwa ceramah yang dilakukan Abdul Hadi mengaitkannya dengan pil kuda dan berfahaman komunis menjatuhkan maruahnya dan keluarga selain reputasinya sebagai calon PKR dan ahli perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 3:09 PM