KHAIRY tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan ‘pendrive’. FOTO Fariz Iswadi Ismail
KHAIRY tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan ‘pendrive’. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Aziman Rosdi


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan mengesahkan sama ada wujudnya unsur penyelewengan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya menyerahkan bukti yang terkandung dalam 'pendrive' kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Selepas menyimpan 'pendrive' yang diserahkan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat lalu untuk diteliti, Khairy hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya 11.20 pagi tadi untuk menyerahkan bukti berkenaan kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki.

"Saya sudah serahkan 'pendrive' kepada SPRM jadi biarlah mereka membuat siasatan lanjut dan kemudian memberikan kenyataan.

"Memang saya sudah beri bayangan awal sebelum ini mengenai perkara teknikal bola sepak dalam 'pendrive' itu tapi disebabkan saya sudah serahkan kepada SPRM, biar kita tunggu dulu hasil siasatan sama ada, ada kes atau pun tidak,'' katanya yang ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Khairy, beliau menyerahkan 'pendrive' yang sama diberikan oleh Tunku Ismail dan turut mencetak 279 halaman yang terkandung di dalamnya untuk diserahkan kepada SPRM.

Bola sepak tanah air sebelum ini dikejutkan dengan dakwaan Tunku Ismail yang mengakui memiliki 'pendrive' mengandungi bukti dakwaan penyelewengan dan salah laku pegawai FAM selama 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 12:54 PM