KHAIRY Jamaluddin menunjukkan 'pendrive' sebelum menyerahkannya kepada SPRM, Jumaat lalu. FOTO Bernama
KHAIRY Jamaluddin menunjukkan 'pendrive' sebelum menyerahkannya kepada SPRM, Jumaat lalu. FOTO Bernama
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Tiada sebarang unsur rasuah berhubung isi kandungan pemacu simpanan mudah alih atau 'pendrive' yang diserahkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, pihaknya akan menghantar satu laporan siasatan berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam tempoh terdekat.

"Ia bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu teknikal yang dibangkitkan.

"SPRM juga bersedia memberi kerjasama dengan FAM dan mana-mana pihak dalam hal berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya membabitkan unsur rasuah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Khairy hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk menyerahkan 'pendrive' berkenaan kepada Pengarah Siasatan SPRM.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan enggan mengesahkan sama ada wujudnya unsur penyelewengan dalam FAM sebaliknya menyerahkan bukti yang terkandung dalam 'pendrive' kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, bola sepak tanah air dikejutkan dengan dakwaan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui memiliki 'pendrive' mengandungi bukti dakwaan penyelewengan dan salah laku pegawai FAM selama 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 1:59 PM