BERNAMA

Kuala lumpur: Selain akaun tiga penjawat awam yang ditahan baru-baru yang melebihi RM13 juta dibekukan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyita beberapa unit kondominium mewah termasuk unit penthouse dan banglo serta kenderaan mewah, antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan pengubahan wang haram.

Akaun yang dibekukan itu pula meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta seorang.

Isnin lalu, SPRM menahan tiga penjawat awam termasuk bergelar Datuk Seri dan Datuk yang berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), di ibu negara, Melaka dan Kelantan.

Pengarah SPRM Datuk Azam Baki berkata, pihaknya percaya wujud kaitan antara tiga penjawat awam yang ditahan baru-baru ini, dalam siasatan suruhanjaya itu di Kelantan.

Menurutnya, tiga penjawat awam berkenaan disambung reman mereka hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

"Tempoh reman mereka disambung bagi membantu siasatan. Setakat ini, 13 individu sudah membantu siasatan.

“Enam lagi individu masih dikesan," katanya sambil menambah mungkin keenam-enam orang itu akan memberi keterangan esok atau lusa.

Bagaimanapun, Azam enggan mengulas lanjut kes membabitkan ketiga-tiga individu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 10:10 PM