Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Tiga penjawat awam termasuk dua bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Mereka ditahan menerusi operasi serentak dijalankan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan kira-kira jam 12 tengah hari dan 2 petang.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan berusia lingkungan 50-an dan masing-masing berkhidmat di satu daripada jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Menurutnya, susulan penahanan itu, akaun milik mereka melebihi RM13 juta dibekukan meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap yang ditahan.

"Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk 'penthouse', banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi dipercayai hasil rasuah dan penggubahan wang haram.

"Dalam serbuan secara serentak hari ini, SPRM turut menjumpai wang tunai kira-kira RM400,000 termasuk mata wang asing serta beberapa jam tangan mewah," katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 5:45 PM